Fasa Dua Lebuh raya Pan Borneo Sarawak tetap diteruskan

SERIAN, 5 DIS – Kerajaan akan memastikan pembinaan Fasa Dua Lebuh raya Pan Borneo Sarawak dari Pujut ke Lawas diteruskan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pembinaan fasa kedua projek mega itu sebelum ini telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional, namun katanya, dibatalkan setelah Kerajaan Persekutuan bertukar selepas Pilihan Raya Umum 2018.

“Saya beri komitmen bahawa saya bersama Fadillah (Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof) dan CM (Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg), kita akan bincang bagaimana nak teruskan fasa dua dan jalan-jalan yang disebut sebagai redline dan missing link (laluan yang tidak disambung) ini.

“Saya juga beri komitmen kita tak akan berhenti setakat itu sahaja, kita akan teruskan segala projek untuk Sarawak,” katanya dalam ucapannya sebelum merasmikan pembukaan Jajaran Seksyen Serian Pakej Kerja Tiga Lebuhraya Pan Borneo, hari ini.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Abang Johari dan Fadillah.

Jajaran Seksyen Serian sepanjang 33.65 kilometer yang siap sepenuhnya semalam, melibatkan kerja menaik taraf Jalan Persekutuan sedia ada dari Bulatan Serian ke Balai Ringin dengan kos keseluruhan RM700 juta.

Ia merupakan sebahagian daripada Pakej Kerja Tiga projek Lebuhraya Pan Borneo dari Bulatan Serian ke Simpang Pantu dengan panjang keseluruhan 75.015 km. – Bernama

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) bersama Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kanan) dan Menteri Kanan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof (tiga, kanan) ketika meninjau pembukaan Jajaran Seksyen Serian Pakej Kerja Tiga Lebuhraya Pan Borneo, semalam. – Bernama