Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fasa imunisasi dipercepat bendung COVID-19 di Labuan

    SHAH ALAM, 15 JUN – Fasa Empat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sebagai fasa kawalan wabak akan dilaksanakan di seluruh Labuan dalam tempoh terdekat bagi membendung jangkitan pandemik itu di kawasan wilayah persekutuan tersebut, kata Menteri Penyelaras program itu Khairy Jamaluddin.

    Khairy berkata, program vaksinasi di Labuan tidak lagi dilakukan sebagaimana fasa biasa susulan peningkatan kes COVID-19 yang mendadak di pulau tersebut, akibat penularan B.1.617.2 atau varian Delta yang menjadi varian lebih ganas.

    “Semalam, hasil mesyuarat saya bersama dengan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa memutuskan, untuk kita melaksana program fasa empat sebagai fasa kawalan wabak di Labuan.

    “Kita jangka akan selesai  proses vaksinasi kepada 80 peratus daripada jumlah penduduk dewasa di Labuan, selewat-lewat pertengahan Julai atau kalau boleh lebih awal daripada itu, untuk kita bendung penularan COVID-19 di sana,” katanya yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor bersama dengan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari hari ini.

    Semalam, Labuan mencatatkan 113 kes baharu dengan empat kematian menjadikan jumlah kes COVID-19 di pulau itu sebanyak 6,155 kes. – Bernama

    Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertugas dalam sekatan jalan raya (SJR) pada tinjauan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bersasar Labuan, di Jalan Tun Mustapha kelmarin. Program imunisasi kebangsaan dipercepatkan di pulau itu bagi membendung wabak COVID-19, menurut Khairy. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda