Sunday, April 13, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fasa ke-3 vaksinasi memberangsangkan

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Pelaksanaan fasa ketiga program vaksinasi COVID-19 Brunei Darussalam mulai berlangsung hari ini dan mendapat sambutan orang ramai apabila kerusi-kerusi dalam khemah di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah dipenuhi pengunjung yang telah menempah awal slot vaksinasi menerusi aplikasi BruHealth.

    Fasa ketiga Program Vaksinasi Kebangsaan dibukakan kepada orang ramai yang berumur 18 tahun ke atas yang boleh mendapatkan suntikan vaksin tersebut di semua pusat vaksinasi di negara ini.

    Antara yang menerima vaksin COVID-19 hari ini termasuk mereka yang mendapat undangan untuk menghadiri majlis-majlis sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-75, serta mereka yang walk-in yang terdiri daripada kalangan warga emas dan orang kelainan upaya.

    Salah seorang penerima vaksin jenis Moderna yang sempat ditemu bual mengongsikan bahawa beliau berasa teruja untuk mendapatkan vaksin tersebut agar orang di sekelilingnya terhindar daripada virus sekaligus melindungi dirinya sendiri.

    Meskipun khuatir akan mengalami kesan-kesan sampingannya nanti, Maricel Vireynato Vitalicia, warganegara Filipina yang menetap di sini berkata setakat ini beliau berasa baik dan dalam keadaan normal.

    Sebahagian orang ramai yang menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin.
    Antara yang telah menerima suntikan vaksin bagi fasa ketiga di pusat vaksinasi di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.
    Salah seorang penerima vaksin bagi fasa ketiga di pusat vaksinasi di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin.

    Beliau juga mengesyorkan rakan-rakannya yang berada di negara ini untuk merebut peluang mendapatkan vaksin.

    “Kalangan keluarga saya juga akan datang hari ini, termasuk emak dan adik lelaki saya,” tambahnya.

    Maricel Vireynato Vitalicia turut menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana telah memberikan vaksin COVID-19 secara percuma bukan sahaja kepada rakyatnya tetapi juga kepada mereka yang menetap di sini termasuk beliau sendiri.

    Sementara itu, Hajah Mardini binti Haji Mohd Noor yang sudah menerima suntikan di Stadium Tertutup menyatakan beliau berasa amat bersyukur kerana tidak mengalami apa-apa kesan sampingan seperti apa yang didengarnya.

    Beliau yang ditemani anak-anaknya juga menyeru kepada semua orang untuk menerima vaksin yang diberikan secara percuma oleh kerajaan, selagi bekalan masih ada bagi sama-sama menjaga keselamatan masing-masing.

    “Walaupun Brunei tidak ada mencatatkan sebarang kes jangkitan COVID-19 tempatan setakat ini, namun dengan mengambil vaksin itu, mudah-mudahan kita dijauhkan daripada segala-gala yang tidak baik,” seru Hajah Mardini lagi.

    Wartawan Media Permata juga sempat menemu bual pasangan suami isteri, Awang Abdul Majid bin Haji Abdul Hamid, 59, dan Dayang Tinah binti Haji Saman, 58, yang berkongsi rasa syukur dan gembira mereka kerana berjaya menempah slot vaksinasi pada hari sebelumnya dan menerima vaksin hari ini.

    Dayang Tinah setelah disuntik berkata beliau tidak merasa apa-apa semasa menerima suntikan vaksin tersebut, manakala suaminya, Awang Abdul Majid merasa seperti digigit semut.

    “Alhamdulillah, menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana pada hari ini kami telah menerima vaksin ini dengan percuma. Ia adalah satu inisiatif yang sangat baik,” kongsi pasangan tersebut.

    Di akhir temu bual, Awang Abdul Majid mendorong orang ramai untuk mengambil vaksin yang disediakan oleh pihak kerajaan kerana ia dapat menjaga kesihatan diri sendiri daripada dijangkiti COVID-19 dan mudah-mudahan dengan adanya vaksin ini, tambahnya, negara bebas dan dilindungi daripada
    COVID-19.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda