Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fasa kedua Projek Taman Paya Bakau Kina Benuwa siap

    LABUAN, 3 OKT – Fasa kedua Projek Pembangunan Ekopelancongan Taman Paya Bakau Kina Benuwa bernilai RM1.68 juta di Labuan telah siap dan diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada 25 September lepas.

    Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan, Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah berkata JKR yang mengawasi pelaksanaan projek itu komited untuk memastikan semua pembangunan di Labuan memenuhi standard tinggi demi manfaat orang awam serta sektor pelancongan yang semakin berkembang.

    “Fasa terbaharu projek ini termasuk pembaikan papan tanda, landskap, penambahbaikan laluan pejalan kaki dan pembinaan jeti terapung.

    “Infrastruktur tambahan seperti tandas awam dan surau turut dirancang untuk kemudahan pelawat di samping meningkatkan daya tarikan taman ini sebagai destinasi rekreasi dan ekopelancongan,” katanya kepada Bernama di Labuan hari ini.

    Beliau berkata JKR Labuan sentiasa memberikan sokongan padu terhadap usaha MOTAC dan Perbadanan Labuan dalam memelihara warisan Labuan dan mempromosikannya sebagai hab pelancongan utama.

    Mohd Faizul berkata kerjasama antara semua pihak terlibat penting untuk melindungi keindahan semula jadi pulau itu. – Bernama

    Gambar JKR Labuan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda