Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fasa peralihan imarahkan kembali masjid seluruh negara

    Oleh Nurdiyanah R.

    Hanya tinggal beberapa hari saja lagi, rakyat dan penduduk di negara ini akan meniti fasa peralihan iaitu pada Jumaat ini, 19 November.

    Ia merupakan salah satu nikmat kesyukuran yang pastinya dinanti-nantikan oleh seluruh masyarakat Islam di negara ini di mana salah satu kelonggaran yang dibenarkan adalah pembukaan kembali semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.

    Semasa fasa peralihan bermula itu nanti, akan dimulai dengan sembahyang Fardu Subuh, sembahyang Fardu Jumaat dan sembahyang-sembahyang fardu berikutnya. Dengan izin Allah SWT jua umat Islam dapat mengimarahkan kembali perlaksanaan ibadat sembahyang di balai ibadat penuh ketenangan.

    Namun begitu, pada saat negara kita masih bergelombang dengan krisis kesihatan kini, masyarakat diingatkan untuk sentiasa berwaspada dalam mengikuti segala garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bersama Kementerian Kesihatan yang telah persetujuan dan dibawa kepada Jawatankuasa Kesejahteraan dan Kebajikan serta ketetapan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pandu COVID-19 yang diadakan 9 November lalu.

    Sehubungan dengan itu, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menjelaskannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, pada 11 November lalu, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan ada menyentuh penetapan bahawa pembukaan semua masjid, surau dan balai ibadat tersebut adalah hanya untuk mendirikan sembahyang fardu lima waktu dan sembahyang Fardu Jumaat sahaja. Namun aktiviti-aktiviti keagamaan yang lainnya seperti takmir, pengajian dan kemasyarakatan belum dibenarkan untuk dilaksanakan sehingga ke satu keadaan yang dirasakan lebih selamat.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika menjelaskan langkah-langkah pembukaan semua masjid, surau dan balai ibadat semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, pada 11 November lalu. – Gambar fail
    Para jemaah dimestikan melakukan pemeriksaan suhu badan dan menggunakan pensanitasi tangan sebelum memasuki masjid dan hendaklah membawa tikar sembahyang sendiri (berukuran besar). – Gambar fail
    Kapasiti masjid bagi sembahyang Fardu Jumaat adalah tertakluk kepada keluasan ruang dalam dan luar masjid setelah dilakukan penjarakan sekurang-kurangnya ukuran satu saiz tikar sembahyang besar di antara jemaah iaitu satu meter. – Gambar fail

    Peka segala SOP demi keselamatan bersama

    Menyentuh lebih lanjut mengenai butir-butir lengkap garis panduan yang telah ditetapkan berkenaan, semasa fasa peralihan nanti, hanya jemaah dan orang ramai yang berumur 18 tahun ke atas dan lengkap dua dos vaksin sahaja yang akan dibenarkan bersembahyang Fardu Jumaat dan sembahyang fardu lima waktu di masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara termasuk surau-surau di bawah kawalan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei.

    Hanya jemaah lelaki sahaja yang dibenarkan untuk hadir bagi menunaikan sembahyang Fardu Jumaat manakala sembahyang fardu lima waktu dibenarkan untuk jemaah lelaki dan perempuan.

    Kapasiti masjid bagi sembahyang Fardu Jumaat adalah tertakluk kepada keluasan ruang dalam dan luar masjid setelah dilakukan penjarakan sekurangnya ukuran satu saiz tikar sembahyang besar di antara jemaah iaitu satu meter.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan mengenai perkara-perkara yang tidak dibenarkan untuk hadir ke masjid, surau dan balai ibadat seperti jemaah yang mempunyai simptom dan berisiko tinggi. Selain itu, masjid-masjid belum dibenarkan untuk mengadakan sebarang aktiviti-aktiviti takmir masjid dan bersalaman.

    Yang Berhormat Pehin turut menekankan beberapa perkara yang dimestikan untuk para jemaah yang hendak pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat antaranya para jemaah diingatkan untuk sentiasa memakai pelitup muka dan jemaah juga dikehendaki membuat tempahan menggunakan aplikasi BruHealth sebelum memasuki masjid atau kawasan masjid.

    Di samping melakukan pemeriksaan suhu badan dan menggunakan pensanitasi tangan sebelum memasuki masjid, hanya jemaah yang mempunyai kod BruHealth berwarna hijau dan kuning sahaja yang dibenarkan masuk dan hendaklah membawa tikar sembahyang sendiri (berukuran besar) serta mereka dikehendaki berwuduk sebelum ke masjid.

    Ketelitian pihak kakitangan

    Dalam pada itu, dalam garis panduan berkenaan, masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat mesti melantik kakitangan untuk melaksanakan pembersihan dan pengemasan yang lebih kerap setiap hari.

    Mereka disarankan untuk menggunakan cecair disinfeksi secara kerap kepada kawasan yang kerap disentuh seperti pegangan tangan, permukaan lif dan butang, tombol pintu, kotak surat, papan kenyataan, paparan digital, panel skrin sentuh serta meja dan kerusi di kawasan umum.

    Selain itu, pihak kakitangan juga dikehendaki untuk memastikan adanya penyediaan cecair disinfeksi tangan di tempat orang kerap berlalu lintas, Selain itu, mereka juga mestilah memastikan tong sampah ditutup pada setiap masa dan dibersihkan setiap hari.

    Untuk mendisinfeksi kawasan, kakitangan pembersihan boleh merendam kain pembersih dalam peluntur isi rumah pada kepekatan yang betul mengikut arahan pembekal dan basuh kain selepas digunakan atau sebelum digunakan semula. Semua peralatan pembersihan serta-merta perlu dibersihkan selepas digunakan. Pembersihan mendalam juga perlu dilakukan seminggu sekali oleh pihak kakitangan semua masjid, surau dan balai ibadat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda