MERAIKAN ulang tahun ke-16 pembabitannya sebagai anak seni, Fasha Sandha mengorak langkah lagi sebagai penerbit menerusi syarikat produksi miliknya, FS Creative Sdn Bhd yang baru ditubuhkan akhir tahun lalu.
Fasha, 34, ketika ditemui berkata, dia mahu menyahut cabaran baru tahun ini apabila berjinak-jinak dalam bidang penerbitan pula dengan menerbitkan sitkom berjudul Mamu Mami Gosip.
“Suatu ketika dulu saya pernah takut untuk bergelar penerbit, tetapi selepas mendapat sokongan daripada banyak pihak, saya beranikan diri ambil langkah ini.”
“Saya anggap ia adalah rezeki anak. Jadi, apabila ada peluang ini sudah tentu saya anggap sebagai bulan jatuh ke riba,” kata pemenang Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2017 dan Bintang FIlem MeleTop Anugerah MeleTop 2017 ini.
Bagaimanapun, dia sedar ia bukan hal mudah kerana tanggungjawab sebagai penerbit jauh lebih besar berbanding sebagai pelakon.
Katanya, untuk bergelar penerbit, kewangan perlu kukuh dan tumpuannya tidak hanya kepada diri sendiri.
Sebaliknya, dia juga perlu fikirkan kebajikan pelakon dan kru, kekurangan dan keperluan lain yang perlu ada untuk menjayakan sesebuah produksi.
Tanpa berselindung, bagi permulaan, Fasha mengeluarkan wang simpanannya di Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan di bank bagi memastikan syarikat produksi ini berjaya.
Katanya, untuk peringkat ini dia sudah melabur RM1 juta sebagai modal permulaan.
“Saya banyak bertanya kepada penerbit lain yang sudah berjaya seperti Datuk Hans Isaac dan Datuk A Aida.”
“Mereka banyak memberi input berguna sebagai persediaan saya bergelar penerbit. Hasilnya, pada Oktober lalu, saya nekad menjadi penerbit.”
Fasha akui pada peringkat awal, dia mengalami migrain kerana terlalu banyak berfikir mengenai penerbitan Mamu Mami Gosip yang juga projek pertama FS Creative Sdn Bhd.
Lebih menarik, Fasha sendiri yang menghasilkan idea dan skrip bagi 50 episod sitkom berkenaan.
Untuk sitkom ini, dia memberi peluang kepada 50 artis popular tempatan untuk tampil sebagai pelakon utama dan undangan.
Katanya, oleh kerana sudah terbiasa sebagai pelakon selama dua dekad, dia sudah arif dengan keperluan dan keselesaan yang perlu ada untuk mereka.
Bukan saja bayaran setimpal, malah dia juga perlu pastikan setiap pelakon selesa dari segi masa, makan, minum, malah kebersihan di bilik air.
Perkara kecil ini disifatkan sangat penting supaya seseorang pelakon itu dapat bekerja dengan baik. – Agensi