Pelakon Fasha Sandha sedar ramai menyukai dan memberikan kata-kata positif setiap kali dia tampil dengan imej bertudung di acara hiburan atau memuat naik foto di laman sosial miliknya.
Bagaimanapun, Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan, 40, berharap orang ramai tidak akan jemu mendoakan agar satu hari nanti dia terbuka hati mengenakan hijab.
“Saya faham ramai sukakan imej itu (bertudung). Ramai juga beri kata-kata semangat dan sokongan kepada saya.
“Alhamdulillah. Doakan yang terbaik untuk saya yang serba kekurangan dan masih banyak perkara perlu diperbaiki,” katanya kepada mStar.
Kerap berkongsi foto bertudung di Instagram, Fasha berkata itu adalah salah satu watak dibawanya untuk drama bersiri Dzikir.
“Itu watak saya dalam drama Dzikir terbitan Astro, masih dalam proses penggambaran,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet memuji aktres itu kerap berkongsi imej bertudung.
Malah mereka berharap satu hari nanti pelakon drama Khilaf Yang Tertulis itu dapat menutup aurat sepenuhnya apabila tiba masa tepat.
“Cantik sangat pakai tudung. Nampak lebih eksklusif; Sejuk mata memandang bila nampak Fasha pakai tudung, semoga lepas ini dapat kekal dengan imej itu; Semoga satu hari nanti Fasha diberikan hidayah untuk terus bertudung, nampak cantik sangat,” antara komen warganet.
Sebelum ini, Fasha pernah mengeluarkan kenyataan dirinya belum bersedia untuk berhijab dan sedang mendalami ilmu agama. – Agensi