Pelakon Malaysia, Fasha Sandha mendedahkan dia tidak mempunyai pengurus bagi membantu menguruskan kerjaya seninya sejak sekian lama.
Memetik dari mStar, Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan, 39, berkata, dia hanya mempunyai pembantu yang bertugas menjawab mesej atau panggilan berhubung urusan pekerjaan selain menemaninya ke set penggambaran.
“Saya tiada pengurus dan bergerak sendiri atas bantuan staf yang tolong jawab mesej dan teman saya ke set penggambaran.
“Aturan waktu cara saya tiada kompromi. Saya susun waktu kerja saya sebaik mungkin,” katanya.
Fasha berkongsi mengenai perkara itu menerusi Instastory miliknya pada kelmarin.
Dalam pada itu, Fasha berkata, meskipun menguruskan jadualnya tanpa bantuan pengurus, dia tetap mengekalkan disiplin dan tidak pernah lewat ke lokasi penggambaran sepanjang bergelar anak seni.
Tambah Fasha, dia juga memandu kenderaannya sendiri jika pembantunya lewat menjemputnya ke lokasi penggambaran walaupun tidak mendapat rehat mencukupi.
“Ini adalah resepi saya, rahsia saya untuk berada dalam industri ini… Syukur Alhamdulillah, kudrat saya masih diperlukan.
“Tawaran datang sendiri tanpa perlu dicari. Ini adalah berkat usaha diri sendiri,” ujarnya. – Agensi