Kegembiraan menyambut Aidilfitri bertukar duka apabila pelakon Fasha Sandha dan keluarga tidak dapat pulang ke kampung halamannya di Perlis apabila dijangkiti COVID-19.
Memerik laporan mStar, Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan, 40, berkata, mereka disahkan positif COVID-19 selepas membuat pemeriksaan di sebuah klinik ketika dalam perjalanan pulang ke Perlis dari Rembau, Negeri Sembilan selepas berasa tidak sihat.
Pelakon itu memberitahu dia dan keluarga dijangkiti virus berkenaan ketika berada di Rembau dan bersyukur kerana mengambil langkah pencegahan sebelum sampai ke kampungnya.
“Ya, benar saya mendapat COVID-19 di Rembau. Nasiblah saya pergi periksa, kalau tak makanya saya membawa virus ini ke Perlis.
“Sudahlah di Perlis ada ramai orang tua dan berisiko tinggi. Alhamdulillah Allah lindung mereka daripada COVID-19. Ini dugaan raya kami,” katanya.
Fasha berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Jumaat.
Menerusi perkongsian video yang dibuat, pelakon filem Anak Perjanjian Syaitan 2 itu juga dilihat menangis teresak-esak menahan sedih tidak dapat meraikan hari raya bersama keluarga.
Menurut Fasha, sejak hari raya pertama dia sudah mengalami gejala seperti selesema namun masih meneruskan perjalanan dari kampung suaminya di Rembau untuk pulang ke Perlis. – Agensi