Pelakon Malaysia, Fasha Sandha bertindak menyekat akaun mana-mana individu di Instagram yang membuat hantaran berkenaan kekejaman rejim zionis terhadap penduduk di Gaza terutamanya melibatkan kanak-kanak.
Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan, 39, berkata, sebagai ibu kepada tiga cahaya mata dia tidak tergamak melihat gambar atau foto kesengsaraan terpaksa dihadapi mereka kerana ia akan menganggu emosinya.
“Saya tidak begitu arif untuk bercakap tentang isu keagamaan, saya tidak sempurna untuk mengulas.
“Ada keterlaluan kongsi fasal anak damit sampai kadang-kadang benda itu kacau emosi saya untuk menjalankan tugas di set penggambaran dan aktiviti harian lain,” katanya.
Fasha berkongsi perkara itu ketika ditemui media semasa pembukaan cawangan ketiga butik Al Faro di Shah Alam pada kelmarin.
Dalam pada itu, Fasha juga tidak selesa untuk mengulas mengenai kempen boikot produk-produk yang mempunyai kaitan dengan Israel.
Katanya, dia lebih selesa berdiam diri kerana bimbang kenyataan dikeluarkan akan disalah anggap sesetengah pihak.
“Saya tidak mahu kata saya boikot atau tak. Saya kena jaga hati orang yang memboikot dan mereka yang diboikot,” katanya.
Tambah Fasha, dia tidak dapat mengelak daripada berasa kasihan terhadap pekerja yang bekerja dengan syarikat diboikot sekiranya mereka hilang punca pendapatan.
“Kalau mereka (pekerja) ditempat yang diboikot ini hilang pekerjaan, di mana mereka ingin bekerja?
“Pada saya, mereka juga perlukan pekerjaan. Adakah semudah itu dia nak cari kerja lain? Mereka ada keluarga untuk ditanggung.
Bukan senang nak cari kerja sekarang ini,” ujarnya. – Agensi