Tuesday, December 31, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fasha Sandha seronok dapat tunai solat tarawih bersama keluarga

    Tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu dan dilanjutkan sehingga 12 Mei tidak memberi tekanan kepada pelakon Fasha Sandha.

    Menurut Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 36, biarpun sambutan Ramadan ketika krisis penularan wabak Covid-19 namun dia bersyukur dapat melakukan pelbagai aktiviti seperti solat dan masak bersama keluarganya.

    “Saya bersyukur PKP dapat mengeratkan lagi silaturahim dalam keluarga. Pertama kali berpuasa dan solat tarawih setiap hari bersama keluarga. Dalam dugaan kita, terselit juga hikmah untuk semua orang.

    “Pertama kali Ramadan semua dapat bersama-sama. Hari-hari bincang mengenai menu berbuka untuk memasak bersama. Alhamdulillah, sekarang Aidil pun dah kenal mana satu halia dan lengkuas, mana satu daun kuchai dan daun bawang.

    “Satu pengalaman yang baik untuk para suami juga kerana dapat bantu para isteri di dapur,” kata isteri pelakon Aidil Aziz ini kepada mStar.

    Fasha bersyukur dapat gagahkan diri untuk berpuasa biarpun dia sedang sarat mengandung. – Agensi

    Fasha berkahwin dengan Aidil Aziz pada 30 Mac tahun lalu dan dia mempunyai dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal, 7, dan Putri Raysha Jemyma, 5 hasil daripada perkahwinan terdahulu.

    Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Dua Takdir Cinta ini meluahkan rasa syukur kerana berjaya gagahkan diri untuk berpuasa biarpun dalam keadaan dirinya sedang sarat hamil tujuh bulan.

    Selain itu, dia berterima kasih kepada suami iaitu Aidil Aziz dan adik bongsu yang juga pelakon Elisya Sandha kerana banyak membantu menjaga anak-anaknya yang sedang belajar secara talian ketika dia sibuk menguruskan kerja di dapur.

    “Saya sangat bersyukur kerana dapat juga gagahkan diri berpuasa dalam keadaan hamil dan kini usia kandungan sudah mencecah tujuh bulan.

    “Aktiviti saya padat dengan anak-anak juga sebab mereka belajar secara talian. Bukan mudah untuk mengawal anak berusia tujuh dan lima tahun dengan pembelajaran secara talian.

    “Nasib baik ada Aidil dan adik bongsu saya, Elisya yang dapat meringankan kerja saya. Walaupun saya sedang sarat mengandung, saya juga masih sibuk di dapur,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda