Biarpun bergelar pelakon ‘gred A’, namun pelakon jelita, Fasha Sandha, 39, tidak berkira soal bayaran untuk sesetengah naskhah lakonan.
Bintang utama filem baharu, Cerana Biduk Bu Merah itu mengakui ada tawaran diterima kerana duit dan ada juga disebabkan kecintaan dan minatnya terhadap dunia lakonan.
Fasha berkata dia menerima tawaran filem Cerana Biduk Bu Merah atas dasar mahu membantu kerana tahu kekangan bajet dihadapi pengarah dan penerbit, Haizul Anafer Ali dan isterinya, Azlin Rahim.
“Bagi saya, soal bajet adalah sesuatu sangat subjektif. Setiap pelakon ada kadar harga tersendiri, tetapi saya ikut juga bajet produser.
“Ia bukan bermakna saya boleh ditindas, cuma saya lebih bertoleransi untuk filem Cerana Biduk Bu Merah.
“Saya sudah lama mengenali pengarah dan produser. Saya tahu bajet produksi tidak besar, jadi saya terus setuju bila mereka minta tolong.
“Sebagai orang lama, Haizul selaku pengarah ada banyak ilmu dan pengalaman. Itu juga antara faktor kenapa saya bersetuju membintangi naskhah ini.
“Bagi saya, sesekali tak salah membantu kerana Haizul juga nak berkarya.
“Lagipun, saya percaya bila tolong orang rezeki akan lebih melimpah ruah,” kata Fasha yang ditemui pada Malam Gala Filem Cerana Biduk Bu Merah di TGV Aeon AU3, Keramat, Kuala Lumpur, kelmarin.
Selain itu, katanya, apa yang membuatnya tertarik kerana barisan pelakon yang membintangi filem seperti Wan Hanafi Su dan Pekin Ibrahim.
Kali terakhir, katanya, dia berkongsi set dengan Wan Hanafi menerusi drama Usia untuk siaran RTM. – Agensi