MELAKA – Tidak dapat dinafikan golongan yang mampu berbahasa lebih daripada satu bahasa memiliki kelebihan yang bukan sedikit terutama di alam pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat.
Menurut N. Kumar, 29, perancangan jangka masa panjang ayahnya, S. Naiedu, yang mahu keempat-empat anaknya menguasai satu bahasa tambahan agar mudah mendapat
pekerjaan, telah membuahkan hasil.
Pemuda itu berkata kefasihannya berbahasa Mandarin sejak tadika memberi banyak kelebihan kepadanya sejak di bangku sekolah hinggalah kini beliau memasuki alam pekerjaan.
“Semuanya sebab ayah hendak kami empat beradik sekolah dekat dengan rumah dan satu-satunya sekolah terhampir adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Ayer Keroh.
“Memang pada mulanya agak susah untuk faham tapi disebabkan ada sedikit asas semasa belajar di tadika Cina, lama-lama kefahaman saya dalam berbahasa Mandarin semakin meningkat,” katanya kepada Bernama.



Kumar berkata perbualan harian mereka di rumah juga lebih banyak dalam bahasa Mandarin manakala bahasa Tamil digunakan hanya apabila berkomunikasi dengan ibu bapa.
“Macam ayah, dia faham bahasa Mandarin disebabkan pergaulannya dengan rakan-rakan berbangsa Tionghua tetapi tidak begitu fasih jika bercakap. Jadi, apabila berbual di rumah, automatik kami akan gabungkan bahasa Tamil, Melayu, Inggeris dan Mandarin.
“Hinggakan sanak saudara yang lain pun kadangkala pelik dengan kami sekeluarga yang bercakap campur-campur tapi bagi saya, itulah kelebihan keluarga kami,” katanya.
Katanya kefasihannya dalam berbahasa Mandarin juga sering membuahkan rasa cemburu dalam kalangan rakannya malah sering meminta bantuannya untuk menterjemahkan jika mereka berurusan dengan kaum Cina.
Jelas bekas pelajar Institut Kemahiran Industri Melaka (IKM) di Bachang itu, ramai rakannya yang menyatakan mereka berasa rugi kerana tidak belajar bahasa Mandarin
selepas melihatnya fasih berkomunikasi dalam bahasa tersebut.
Tambah Kumar, sebagai pekerja di sebuah kedai aksesori kereta, mengetahui banyak bahasa, ia banyak membantunya berkomunikasi dengan pelanggan daripada pelbagai bangsa dengan lebih baik.
“Macam di tempat kerja, saya lebih faham dengan apa yang dikehendaki oleh pelanggan. Sebab ada pelanggan yang tidak tahu menerangkan dengan baik apa yang dikehendaki dan apabila saya berbahasa yang sama dengan pelanggan, mereka akan dapat yang terbaik.
“Saya lebih faham dan tidak buat salah dalam memenuhi kehendak pelanggan yang datang ke kedai,” katanya.
Perkara ini juga katanya diaplikasikan dalam kehidupan seharian memandangkan beliau menyedari hanya komunikasi yang jelas dapat mengekalkan perpaduan dan keharmonian hidup bermasyarakat dalam negara pelbagai kaum dan bangsa.
“Sebab itu saya selalu beritahu rakan-rakan supaya ambil peluang untuk belajar bahasa lain sebab tidak rugi. Ia bukan hanya untuk karier tetapi kita hidup di Malaysia, negara yang pelbagai kaum dan bangsa. Ini juga mampu menjadi cara kita menyemarakkan semangat kenegaraan sebab banyak salah faham boleh dileraikan dengan bahasa,” katanya. – Bernama

