Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Majlis Festival Sastera (FESTERA) 2024 yang dihasratkan untuk meningkatkan minat masyarakat terhadap sastera digital telah dirasmikan pagi tadi di Pusat Kesenian Pro-Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan majlis berkenaan ialah Dekan FASS, UBD, Dr Kathrina binti Dato Paduka Haji Mohd Daud yang sekali gus menyaksikan pameran yang dikendalikan oleh mahasiswa dan mahasiswi yang mengikuti modul AS-2301 Sastera dan Pendidikan di akhir acara sesi pagi.
FESTERA kali ke-11 itu merupakan sebahagian daripada modul AS-2206 Pengurusan dan Pemasaran Sastera yang ditawarkan di bawah Program Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), UBD.
Tahun ini, ia menampilkan tema Sastera Digital: Inspirasi di Hujung Jari yang berperanan penting dalam teknologi digital untuk menginspirasi dan memajukan bidang sastera.
Pengerusi Majlis FESTERA 2024, Awang Muhammad Firdaus bin Haji Sani semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya menjelaskan tema majlis itu lebih mencerminkan realiti semasa iaitu sastera dan teknologi digital saling melengkapi.
Di hujung jari kita kini, terdapat pelbagai bentuk karya sastera yang dapat kita akses, cipta dan kongsi. Era digital telah membuka ruang yang luas bagi kita untuk berinovasi dan menghasilkan karya-karya yang tidak hanya dapat menyampaikan mesej, tetapi juga memberi inspirasi kepada orang lain.
“Festival ini dirancang bukan sahaja sebagai platform untuk meraikan karya sastera, malah bagi memberi peluang kepada semua agar dapat berkongsi pandangan dan idea,” tambahnya.
Awang Muhammad Firdaus turut menekankan dalam dunia yang semakin serba maju ini, kita harus bijak memanfaatkan teknologi sebagai alat untuk menyebarkan dan memartabatkan sastera, supaya suara kita tidak hanya kedengaran di dalam bilik kuliah, tetapi juga di persada dunia.
“Kita juga perlu ingat, sastera adalah medium untuk menyatukan kita semua, tanpa mengira latar belakang. Semoga anjuran kali ini mampu memberikan sedikit sebanyak idea dan menimbulkan semangat untuk menghasilkan karya-karya yang bukan sahaja kreatif namun, memberi impak positif terhadap masyarakat,” ujar beliau.
Majlis perasmian berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan daripada ahli Kelab Rampun Kesenian Insan Sastera (RAKIS) dengan dua buah sketsa berjudul Jangan Sentuh dan juga Babak 1 Hikayat Awang Kamaruddin.
Pameran pada majlis itu turut disertai oleh mahasiswa dan mahasiswi daripada Program Kesusasteraan Melayu dan Kelab RAKIS; dan juga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) Brunei Darussalam.
Sementara itu, pada sesi petang, majlis turut diserikan dengan persembahan Hikayat Empat Pemalas dan Diskusi Panel Bicara Seni daripada Dayang Syazni binti Bakar dari 247 Studio dan Sosojan A Khan dari Akademi Panggung Sri Utama Enterprise (APSUE).
Manakala Majlis FESTERA pada hari kedua dijangka akan diteruskan dengan sesi bengkel yang disampaikan oleh Dr Ena binti Wasli dengan topik yang bertajuk Penggunaan Suno AI dan CHATGPT dalam Kesusasteraan Melayu yang dihasrat bagi sama-sama meningkatkan pengetahuan kepada para peserta mengenai penggunaan teknologi AI dalam mendekati sastera Melayu.
Turut hadir bagi menyaksikan majlis berkenaan ialah para pensyarah, pelajar-pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah di seluruh serta khalayak awam.
Adapun pengungkayahan Majlis FESTERA itu antara lain bagi menekankan peranan teknologi digital dalam memperluas akses sastera dan memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk berinteraksi dengan khalayak serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam aspek pengurusan
Selain itu, ia juga dihasrat bagi menonjolkan kredibiliti mahasiswa dan mahasiswi dalam merancang dan mengurus projek dengan berkesan dan sistematik.