Fastroll Labels sasar pasaran Asia

KUALA LUMPUR, 13 OKT – Fastroll Labels (M) Sdn Bhd, pereka bentuk dan pembuat pelbagai label dan pelekat, menyasarkan untuk mengembangkan pasarannya di Asia pada 2020.

Syarikat itu mencetak label khusus untuk hampir mana-mana pasaran selama lebih 20 tahun bagi 72 negara, termasuk Singapura, Indonesia, Filipina, Mexico, Amerika Syarikat dan New Zealand.

Pengurus Jualan dan Pemasaran, Nur Zahera Jumal berkata dalam mencapai sasaran itu, Fastroll turut berusaha meningkatkan jumlah perolehan sebanyak 10 peratus tahun depan daripada RM10 juta yang diunjurkan tahun ini.

Pada 2018, Fastroll Labels mencatatkan perolehan sebanyak RM8.5 juta, disokong oleh peningkatan pembelian daripada perniagaan kecil, terutama syarikat pemula niaga serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Segmen pasaran utama kami meliputi sektor makanan dan minuman, elektrik dan elektronik, kosmetik, produk isi rumah, industri dan farmaseutikal.

“Produk kami memenuhi hampir semua industri selagi mereka memerlukan label pembungkusan dan pelekat,” katanya kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2019 di sini, baru-baru ini. – Bernama

Nur Zahera Jumal bercakap kepada Bernama pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2019 di Pusat Pameran dan Perniagaan Antarabangsa Malaysia kelmarin. – Bernama