Oleh Daniel Lim
BELAIT, 30 MAC – Dalam usaha memeduli dan memantau perkembangan kehidupan dan kebajikan asnaf mualaf dalam kehidupan seharian dan kesempurnaan ibadah mereka menjelang Ramadan, Projek Fathul Barakah 2.0 hari ini menghulurkan bantuan kepada mualaf di Daerah Belait.
Projek diungkayahkan oleh Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dan Persatuan Mualaf Seluruh Negara itu menyaksikan 30 buah keluarga mualaf daerah itu menerima sumbangan yang berlangsung di Pejabat Unit Dakwah, Daerah Belait.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyerahan bantuan ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh. Penyampaian sumbangan diselajurkan dengan penyerahan bantuan makanan dan minuman sempena majlis bertadarus dan sembahyang Sunat Tarawih bagi tahun 2021 bagi Daerah Belait kepada lima buah lokasi terpilih termasuk balai-balai ibadat di kawasan pedalaman, Ulu Belait di Sukang dan Melilas.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Muhammad Aliyani bin Ismail, Ketua Bahagian Pembangunan Mualaf, Dr Hajah Rohanita binti Yaakub dan ahli jawatankuasa Persatuan Sinar Islam.
Projek antara lain bertujuan mengeratkan hubungan ukhuwah dalam sama-sama mengungkayahkan kerja-kerja berkebajikan demi kesejahteraan para mualaf khususnya di negara ini.