Reaksi spontan anak kepada pelakon Fattah Amin meraih perhatian ramai apabila memberitahu sudah tidak menyayangi bapanya itu.
Menerusi sebuah rakaman video sesi siaran langsung yang dibuat oleh Fazura, aktres itu dilihat bersama Fatima atau Nur Fatima Aisya sedang mempromosikan produk jualan miliknya.
Bagaimanapun, seorang pengikut bertanyakan mengapa Fatima menangis sebelum itu dan kanak-kanak berusia lima tahun itu memberikan jawapan yang mengejutkan ramai.
“Saya tidak mahu daddy (panggilan Fattah), saya tidak lagi sayang daddy,” katanya.
Fazura bagaimanapun memberi teguran kepada Fatima dan menasihati anak perempuannya untuk tidak berkata demikian kepada bapa kandungnya sendiri.
“Kenapa awak tak mahu daddy? Tak boleh cakap macam itu. Awak selalu sayang daddy kan?” ujarnya.
Sebelum ini, menerusi temu bual bersama mStar, Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 35, menyangkal dakwaan sudah lama tidak bertemu Fatima.
Fattah sebaliknya tidak pernah menggunakan alasan sibuk bagi mengelak meluangkan masa bersama anaknya.
Malah aktor berkenaan memberitahu atas persetujuannya bersama bekas isteri, dia dibenarkan bertemu dan bermalam dengan Fatima mengikut jadual ditetapkan.
Untuk rekod, Fazura mendirikan rumah tangga dengan Fattah pada 27 November 2017 namun bercerai pada 7 Oktober tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Fatima yang kini berusia 5 tahun. – Agensi