Pelakon Fattah Amin memberitahu kehadiran perunding perkahwinan terkenal pada majlis sambutan rumah terbukanya, yang mana malam itu beliau tidak membawa sebarang khabar gembira yang ingin dikongsikan kepada umum.
Fattah bagaimanapun menjelaskan, kehadiran pemilik itu hanya sekadar memenuhi jemputannya sebagai kenalan lama.
“Mereka adalah kenalan lama saya dan pengurus. Jadi sempena sambutan rumah terbuka ini saya jemput klien yang pernah atau sedang saya bekerjasama untuk hadir.
“Saya juga ada mengajak kenalan dan peminat untuk memeriahkan acara ini.
“Kalau ada apa-apa nanti saya beritahu kalian (media),” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya adakah ada sebarang majlis yang bakal berlangsung, Fattah hanya meminta untuk mendoakan yang terbaik.
“Doakanlah yang terbaik, insya-Allah,” katanya ringkas.
Dalam masa sama, Fattah mengaku hubungan keluarganya dengan penyanyi Amira Othman semakin akrab selepas beberapa perjumpaan.
“Selepas beberapa majlis, keluarga kami sudah saling mengenali. Saya pun dah kenal keluarga Amira, begitu juga dengan dia.
“Rasanya tak salah sebab dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara dua keluarga,” katanya. – Agensi