Pasangan bakal pengantin, Fattah Amin dan Amira Othman sudah mula merancang tentang majlis pernikahan mereka sejak Februari lalu.
Perkara tersebut didedahkan oleh adik kepada Amira iaitu Irfan Haris yang memberitahu dia sudah lama menyimpan rahsia mengenai hubungan rapat kakaknya bersama aktor berkenaan.
“Lama juga saya simpan rahsia, sejak tahun lepas bulan Disember. Tak sangka kakak saya sedang kenal hati budi Fattah, tetapi saya tak boleh beritahu orang.
“Bulan Disember kami ke London. Bulan Januari dah jumpa Fattah, masuk bulan Februari kami dah berbincang bila majlis ini akan berlangsung.
“Dalam hati Allah sahaja yang tahu berbunga-bunga mendapat khabar kakak saya nak berkahwin dengan Fattah,” katanya kepada mStar.
Irfan berkongsi perkara tersebut menjawab pertanyaan orang ramai dalam satu sesi siaran langsung di laman TikTok
Tambahnya perjalanan Amira dan Fattah berkenalan rapat berlaku terlalu pantas sebelum mereka membuat keputusan untuk berkahwin.
Malah Irfan juga menyifatkan bakal abang iparnya itu seorang lelaki yang berani apabila terus berjumpa keluarga selepas kawan rapat.
“Apabila Fattah nak kenal dengan kakak, dia ambil langkah bertemu keluarga. Jumpa keluarga dan bincang tarikh. Cantik sahaja Allah susun, betul-betul cepat,” ceritanya.
Amira dan Fattah bakal disatukan dalam satu majlis pernikahan yang akan berlangsung pada Ahad ini.
Mereka sebelum ini membuat kejutan mengumumkan tarikh hari bahagia ketika majlis pelancaran lagu baharu Amira dan Irfan berjudul, Rasa & Takdir. – Agensi


