Pelakon Fattah Amin menyampaikan ucapan terima kasih isteri iaitu aktres Nur Fazura kerana memberi peluang untuk meluangkan masa bersama anak mereka.
Fattah, 34, berkongsi perkara itu apabila keluar bersama anaknya, Nur Fatima Aisya yang menyambut ulang tahun keempat pada 2 Oktober lalu.
“Terima kasih Mommy (Fazura) bagi peluang Daddy dating dengan Fatima,” katanya.
Fattah memuat naik gambar dan video kenangan itu di Instagram miliknya kelmarin. Dalam video berkenaan mereka dilihat bersama di sebuah taman permainan tertutup dan turut sempat memotong kek hari jadi. Fatima kelihatan teruja bermain di tempat tersebut kerana tiada pengunjung lain pada hari berkenaan. Malah anak kecil itu dikatakan terlalu seronok sehingga keletihan apabila pulang ke rumah.
“Kesian sampai tertidur balik tu,” ujarnya.
Hantaran Fattah itu pastinya mendapat perhatian ramai memandangkan dia dan Fazura kini sedang berdepan kemelut rumah tangga yang dijangka bakal berakhir dengan penceraian.
Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, 41, memfailkan penceraian terhadap Fattah pada 13 September lalu. Biarpun berdepan isu rumah tangga kedua-dua mereka dilihat masih mengekalkan hubungan baik sebagai ibu bapa. Malah Fazura dan Fattah juga saling berbalas ucapan sambutan ulang tahun mereka yang disambut September lalu. – Agensi