Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fattah Amin mahu bebas dari konsep ‘cintan-cintun’

    Pelakon dan penyanyi, Fattah Amin tampil dengan pembaharuan, melancarkan single baharu berjudul Bebas yang menyubur semangat mahu berubah, dimuat naik di semua platform digital, tengah malam kelmarin.

    Pernah merakamkan empat single antaranya Wanita Terindah dan Isterimewa, Fattah menganggap masanya sudah tiba untuk dia tampil dengan lagu yang mampu menyuburkan semangat pendengar.

    “Sampai bila saya mahu terus selesa menyanyi lagu konsep ‘cintan-cintun.’ Saya mahu pembaharuan dalam seni.

    “Saya mahu beralih kepada sesuatu yang boleh memberi manfaat sambil berhibur. Langkah ini mengelak saya daripada statik sebaliknya terus melonjakkan kerjaya seni,” katanya kepada media.

    Single Bebas terbitan Universal Music Sdn Bhd, dicipta Rudy Nastia dengan lirik nukilan Leo Azman. Turut dilancarkan, video muzik arahan Thaqif Saadon yang boleh ditonton di YouTube.

    Fattah Amin mahu menampilkan pembaharuan melalui single baharunya Bebas yang mampu menyuburkan semangat pendengar. – Agensi

    Fattah yang juga suami pelakon, Nur Fazura berkata, single Bebas dilancarkan tepat pada masanya ketika rakyat berhadapan pelbagai permasalahan sosial dan cabaran hidup.

    “Judulnya sahaja memberi erti kebebasan dan tidak mahu terus terbelenggu dengan perkara negatif.

    “Lagu ini ditujukan kepada sesiapa sahaja yang berhadapan masalah sosial termasuk kemurungan. Lagu ini menyuntik motivasi dan membebaskan diri daripada bebanan dan tekanan.

    “Pada akhirnya, kita harus yakin dan percaya bahawa bagi setiap permasalahan, pasti ada jalan keluar. Kita masih ada insan di sekeliling, teman atau ahli keluarga yang boleh memberi sokongan,” katanya.

    Penerima trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 ini berkata, single Bebas adalah hadiah buat peminat.

    “Saya yakin peminat tidak hanya mahu mendengar lagu cinta semata-mata. Peminat saya dalam pelbagai kelompok peringkat umur. Mereka pasti terpalit dengan masalah semasa.

    “Jadi, saya sumbangkan sesuatu untuk peminat dan masyarakat demi menaikkan semangat yang hilang,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda