Pelakon Fattah Amin tampil memohon maaf kepada anaknya, Nur Fatima Aisya susulan tidak dapat melihat persembahan tarian tradisi sempena hari kebudayaan yang diadakan di sekolah.
Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 35, berkata dia berharap dapat melihat anaknya melakukan persembahan namun kini berada di New Zealand untuk menjalani penggambaran sebuah drama.
“Saya harap saya boleh berada di sana dengan kamu, sayang. Saya minta maaf. Daddy (panggilan Fattah) kena bekerja,” katanya.
Fattah berkongsi perkara itu menerusi Instastory miliknya kelmarin yang memaparkan foto Fatima, menurut laporan mStar.
Meskipun tidak hadir, Fattah memberitahu dia sentiasa bangga dengan keberanian anaknya untuk berdiri di atas pentas membuat persembahan.
“Tapi ingat Daddy bangga dengan Fatima dan akan sentiasa bangga dengan awak. Sayang Fatima,” katanya lagi.
Sebelum ini, perkongsian bekas isterinya iaitu Fazura menjadi perhatian ramai apabila tiada kelibat Fattah di acara sekolah anak mereka.
Untuk rekod, Fazura mendirikan rumah tangga dengan pelakon Fattah Amin pada 27 November 2017, namun jodoh mereka berakhir pada 7 Oktober tahun lalu. – Agensi
