Pelakon Fattah Amin mendedahkan isterinya yang juga penyanyi, Amira Othman mempunyai bakat dalam bidang masakan.
Menerusi siaran langsung di TikTok, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, berkongsi pengalaman menikmati menu yang pernah dimasak Amira.
Katanya, walaupun hidangan itu kelihatan ringkas, namun air tangan isterinya luar biasa kerana dipenuhi pelbagai jenis makanan laut.
“Amira pandai masak. Dia pernah masakkan saya mi segera. Walaupun ia hanyalah mi segera, tapi meriah sebab ada sotong, ikan, sayur, telur dan bermacam lagi.
“Kalau dah masak mi segera seperti itu, apatah lagi kalau masak hidangan lain. Maksudnya memang betul tekaan saya,” katanya.
Sementara itu, Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 32, secara peribadi menyifatkan masakan barat sebagai hidangan yang lebih mudah untuk disediakan.
“Saya rasa masakan western yang mudah. Bagi saya, masakan itu lebih straight forward.
“Kalau masakan melayu pun senang, cuma saya lebih suka letak bawang banyak,” katanya. – Agensi


