Nama pelakon Fattah Amin bagaikan pisang goreng panas selepas dia sah bercerai Oktober lalu sehingga ramai pengusaha produk mahu bekerjasama dengannya sebagai duta.
Syukur dengan setiap rezeki yang datang, Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 34, tidak pernah menganggap ada pihak cuba mengambil kesempatan atas kisah peribadi hidupnya untuk demi melariskan jualan.
“Saya mencari rezeki yang halal. Jika mereka ambil saya bekerja, saya buktikan dengan hasilnya. Tiada istilah ‘menunggang’ isu peribadi.
“Mereka beri saya tawaran kerja dan produk terjual. Itu yang lebih saya fokuskan. Saya ambil tanggungjawab atas setiap kerja diberikan. Rezeki semua sudah tertulis,” katanya kepada mStar.
Fattah berkongsi perkara itu ketika ditemui ketika majlis sidang media bersama Usanita Entertainment yang berlangsung di Kuala Lumpur kelmarin.
Biarpun namanya kini menjadi fenomena, Fattah sedar ada pihak mula kurang senang dan muak apabila tumpuan berlebihan diberikan kepadanya.
Bagi Fattah sebagai seorang selebriti dia hanya menjalankan tugas diamanahkan dan terpulang kepada persepsi orang ramai untuk menilai dirinya.
“Ini semua rezeki Allah dan sebagai umat Islam kita kena percaya perkara itu. Saya pun tak minta setiap video yang dibuat menjadi FYP. Saya hanya buat sehabis baik untuk setiap tawaran kerja.
“Persepsi masing-masing untuk memberi pendapat dan saya tidak boleh kawal. Ada yang suka dan ada yang tidak. Semua orang ada hak untuk bercakap,” ujarnya.
Terus mengembangkan kerjaya seninya, Fattah turut dilantik menjadi duta Usanita Entertainment yang mana dia berperanan mempromosikan setiap kandungan digital syarikat berkenaan selain bakal tampil dalam sebuah drama baharu berjudul Aku Cinta Dia. – Agensi