Digelar sebagai ‘duda hot’ selepas bercerai dengan pelakon Nur Fazura, aktor Fattah Amin hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada warganet yang terus memberikan sokongan.
Kata Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, dia terharu dengan sokongan diberi dan mengakui peminat menjadikan dirinya terus kuat untuk berdiri.
“Tak tahu nak komen (berkenaan duda terhangat). Saya tak nak komen tapi ingin ucap terima kasih kepada semua yang sokong. Tanpa mereka siapalah saya. Alhamdulillah saya pun agak terharu dengan keadaan sekarang. Bersyukur atas sokongan daripada peminat sejak dulu lagi.
“Teruskan doakan yang baik-baik buat saya,” katanya kepada mStar.
Fattah menjawab perkara itu ketika ditemui di malam Gala Premiere All Access To Rossa 25 Shining Years di Pavillion Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Rabu.
Ditanya perkembangan terkini dirinya, Fattah hanya memaklumkan dia berada dalam keadaan baik-baik sahaja.
Jelas aktor itu, dia kini memberikan fokus dan tumpuan terhadap kerjaya seni serta anaknya Fatima.
“Keadaan saya sekarang macam ini lah. Sekarang tengah sibuk kerja, fokus karier dan juga anak saya Fatima. Bulan depan saya ada shooting dengan Erma Fatima dan juga ada beberapa filem lagi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fattah sekali lagi mengucapkan terima kasih apabila menerima banyak sokongan dan kata-kata positif daripada peminat terutamanya semasa bersiaran langsung di aplikasi TikTok.
“Saya tak sangka sebab niat buat siaran langsung itu untuk ucap terima kasih pada semua yang doakan dan beri sokongan. Tapi tak sangka pulak banyak sampai macam itu. Fokus saya sekarang juga untuk buka bisnes. Sekarang sudah ada ‘team’ dan nak kuatkan untuk buka produk sendiri,” ujarnya.
Untuk rekod, Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 namun tidak berkekalan dan sah bercerai pada 7 Oktober lalu. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya, 4 tahun. – Agensi