Pelakon Fattah Amin langsung tidak menyangka drama Bidaah berjaya mendapat tempat di hati penonton sehingga tular di Indonesia.
Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 35, berkata, pada awalnya mereka menyangka karya tersebut bakal menjadi kontroversi seperti mana berlaku di Malaysia memandangkan menampilkan beberapa adegan panas.
“Memang tak sangka sebenarnya drama ini akan viral malah tiada siapa dalam kalangan pelakon atau kru produksi menjangkakan apa sedang berlaku sekarang.
“Apabila drama ini disiarkan, ingatkan akan ada isu sebab terdapat babak-babak kontroversi.
“Tapi tak sangka pula viral drama ini dan diterima baik. Malah mendapat pujian kerana mesej disampaikan cukup baik,” katanya kepada mStar.
Fattah berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media filem Kulit Wayang yang diadakan di The Landing @ KL Base, Sungai Besi, Kuala Lumpur kelmarin.
Bersyukur Bidaah diterima di Indonesia, Fattah menganggap itu adalah rezeki buat semua yang terlibat dalam drama berkenaan.
Malah Fattah seronok dapat bekerja dengan pelakon veteran Faizal Hussein yang tidak kedekut berkongsi ilmu dengan pelapis baharu sepertinya.
“Faizal memang terbaik, bekerja dengannya sangat mudah malah dia banyak berkongsi ilmu dengan saya,” katanya.
Tidak hanya Faizal, Fattah memberitahu dia juga terkena tempias apabila menerima banyak komen serta mesej peminat di Indonesia. Malah ramai bertanya kepadanya sekiranya Bidaah akan muncul dengan musim kedua.
“Akaun TikTok saya ramai betul penonton dari Indonesia meninggalkan komen memberitahu mereka sukakan drama tersebut,” ujarnya.
Kesemua 15 episod Bidaah arahan Fazli Yahya itu kini boleh ditonton menerusi aplikasi penstriman Viu.
Dalam perkembangan lain, Fattah bakal muncul dengan filem terbaharu lakonannya iaitu Kulit Wayang yang akan ditayangkan di pawagam pada 1 Mei ini. – Agensi
