Pelakon Fattah Amin dan bekas isterinya, Nur Fazura sepakat mengamalkan sistem giliran dalam meraikan Syawal bersama puteri kesayangan, Nur Fatima Aisya.
Jadi, Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin tidak kisah Fatima meraikan Syawal bersama Fazura, tahun ini. Gilirannya akan sampai tahun depan.
“Hari Raya pertama dan kedua Fatima akan bersama Fazura. Jadi, raya ketiga sampai kelima, saya dan anak. Kami macam biasa akan bergilir.
“Jadi, tahun ini dengan Fazura dulu dan tahun depan, raya pertama dan kedua bersama saya,” katanya.
Dalam masa sama, lapor BH online, Fattah mengakui merancang memberikan Fatima duit raya.

“Sudah tentulah ada, jumlahnya pun sudah ditentukan. Ini pun saya mahu pergi ‘shopping’ raya dengannya,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Keluarga Itu di Lado By The Lake, baru-baru ini.
Kongsi lanjut, Fattah berkata, dia merancang untuk membawa Fatima berjalan jauh, bagaimanapun memerlukan persetujuan Fazura.
“Sebelum ini, saya bawa Fatima jalan dekat-dekat sahaja. Mungkin luar negara, tapi sudah tentu kena berbincang dengan Fazura. Insya-Allah, doa yang baik-baik,” katanya.
Bakal meraikan Syawal bersama keluarga di Perak, Fattah berkata, dia mengosongkan jadual selama seminggu untuk berehat.
“Tahun ini, saya balik Perak pada Hari Raya pertama dan kedua. Insya-Allah, saya mungkin cuti selama seminggu sebab nak kena habiskan komitmen sebagai duta produk dan sebagainya.
“Saya tandatangani kontrak bukan untuk Hari Raya sahaja, jadi saya tak boleh cuti lama,” katanya.- Agensi