Monday, March 17, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fazley teruja terima Anugerah

    Cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, 41, diumumkan sebagai Pemimpin Paling Dikagumi Di Asia 2019 bagi Kategori Kulinari pada acara anugerah berprestij anjuran Herald Global & ERTC Media, baru-baru ini.

    Menerusi kejayaan itu, Fazley turut melakar sejarah sebagai selebriti pertama dalam bidang masakan menerima pengiktirafan dalam penganjuran itu.

    Mengulas kejayaannya, anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu berkata, dia tidak menyangka kerja kerasnya dalam bidang kulinari mendapat perhatian, seterusnya diiktiraf.

    “Pada awalnya, saya terkejut menerima khabar itu, apatah lagi diberitahu saya terpilih selepas beberapa kali melalui proses saringan bersama 100 individu berpengaruh lain dari seluruh Asia.

    “Kalau hendak diikutkan, ramai lagi individu yang lebih berpengalaman dan senior berbanding saya dalam bidang kulinari. Begitupun, saya anggap ia sebagai rezeki terbesar buat saya dan keluarga SukaSucre Bistro,” kata Fazley.

    Fazley Yaakob mengatakan anugerah tersebut telah memberikannya semangat untuk bekerja lebih keras di masa hadapan. – Agensi

    Sempat berkongsi pandangan mengenai konsep One Asia, Fazley dalam ucapannya berkata, makanan juga mampu mengeratkan hubungan sesama insan, sekali gus membantu masyarakat mengenali dan merasai keenakan sajian negara luar.

    “Anugerah yang diberikan ini memberi saya semangat untuk bekerja lebih keras pada masa hadapan dan sentiasa menghasilkan pelbagai resepi untuk mengangkat tema One Asia dalam bidang kulinari secara menyeluruh,” katanya.

    Selain bapa kepada empat cahaya mata itu, penyanyi Sufian Suhaimi, 27, turut dipilih sebagai Pemimpin Paling Dikagumi di Asia 2019 bagi Kategori Selebriti/Hiburan.

    Fazley dipilih atas sumbangannya dalam memartabatkan industri makanan secara menyeluruh, baik di dalam dan luar negara.

    Anugerah itu dianjurkan bagi memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada individu yang berjaya mengukir populariti dalam industri keusahawanan, pembuatan dan rekaan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda