Melalui fasa hidup lebih tenang selepas bercerai, pelakon Nur Fazura memberitahu dia belum bersedia untuk mencari teman pengganti.
Malah kata Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, 42, tidak pernah terlintas di fikirannya soal jodoh kerana merasakan perpisahan dengan bekas suami iaitu aktor Fattah Amin seperti baharu berlaku.
“Rasanya macam baru sangat saya bercerai. Sejujurnya saya gembira sekarang dan rasa tenang.
“Apabila orang bercakap nak cari pengganti, bagi saya tidak pernah terlintas langsung. Ia terlalu cepat dan masih baru.
“Ada peminat yang mendoakan, saya ucap terima kasih,” katanya kepada mStar.
Fazura ditemui ketika majlis pelancaran lagu dan muzik video berjudul Luar Biasa yang berlangsung di Kuala Lumpur pada malam Jumaat.
Pelakon ini juga sempat berseloroh mengatakan tiada lelaki yang cuba mendekatinya selepas bercerai.
Fazura dan Fattah sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 7 Oktober tahun lalu.
Mereka mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia 5 tahun.
Sementara itu bercakap tentang lagu baharunya, Fazura sekali lagi tampil dengan sebuah karya yang memberi inspirasi serta semangat untuk golongan wanita kembali bangkit.
Bekerjasama dengan komposer Ade Govinda dari Indonesia, dia akui lagu berkenaan cukup dekat dengan kisah yang pernah dilalui.
“Setiap manusia bukanlah gembira sahaja tanpa ujian. Saya juga pernah melalui fasa tersebut. Apa yang penting bukan fokus kepada kejatuhan, sebaliknya untuk kembali bangkit.
“Selalunya kalau dapat lagu saya akan ubah sedikit lirik ikut kesesuaian. Tetapi kali ini tidak. Kerjasama dengan Ade sangat mudah,” ujarnya. – Agensi
