Berpeluang bekerjasama dengan Syasya Rizal dalam lagu Raya Pum Pang, penyanyi Nur Fazura meluahkan rasa syukur lagu berkenaan menerima sambutan baik pendengar.
Pertama kali berduet bersama penyanyi wanita, Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, 42, berkata penghasilan lagu berkenaan memberikan pengalaman baharu buat dirinya.
“Saya sangat teruja dan bersyukur diberikan peluang untuk bekerjasama buat pertama kali dengan beberapa individu berbakat dalam single raya ini.
“Ini adalah pengalaman baharu buat saya dengan persekitaran kerja yang berbeza.
“Bekerjasama dengan Syasya untuk lagu ini juga adalah pengalaman menarik kerana ini kali pertama saya berduet dengan artis wanita, lebih istimewa lagi kerana ia adalah buah tangan khas untuk Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, Syasya, 24, pula berkongsi pengalaman tidak dapat dilupakannya ketika menjalani penggambaran video muzik (MV) Raya Pum Pang bersama anak lelakinya iaitu Muhammad Yassir Hayyan.
Kata Syasya dia bersyukur anak damitnya itu memberikan kerjasama baik sepanjang penggambaran itu berlangsung.
“Sebelum ini saya fokus untuk nampak cantik depan kamera seorang diri, tapi sekarang ada si kecil yang perlu saya pantau juga.
“Yassir sangat ‘friendly’ dan suka mendengar bunyi bising, jadi dia sangat seronok sepanjang sesi penggambaran.
“Satu pengalaman yang sangat berharga buat saya dan juga Yassir sendiri,” ujarnya.
Berkongsi mengenai kolaborasi bersama penyanyi Fazura, Syasya menyifatkan aktres itu sebagai seorang yang penyayang dan kelakar.
Malah Syasya tidak menyangka dia dan Fazura mempunyai keserasian selepas menyanyikan lagu bersama. – Agensi