Aktres Malaysia, Nur Fazura meluahkan rasa teruja apabila anak perempuannya, Nur Fatima Aisya Abdul Fattah akan mula belajar berpuasa pada Ramadan ini.
Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin memberitahu dia sudah mula mendidik anaknya itu mengenai kewajipan berpuasa sejak tahun lalu.
“Fatima semakin membesar dan mula faham apa itu puasa. Tahun lalu, kami sudah terapkan dan didiknya mengenai kewajipan berpuasa.
“Tapi, masa tu Fatima baru berusia tiga tahun. Jadi, tahun ini dia lebih memahami dan beritahu nak cuba berpuasa,” katanya kepada BH Online.
Dalam pada itu, sebagai ibu, Fazura turut berasa bangga dengan semangat yang ditunjukkan Fatima, 5, untuk menunaikan rukun Islam keempat itu pada usia masih kecil.
“Fatima pun sudah bersekolah sekarang. Jadi, bila balik sekolah mungkin penat.
“Kalau dapat puasa separuh hari pun saya sudah bersyukur,” ujar pelakon filem Dendam Pontianak itu.
Beralih kepada perkembangan kerjaya lakonannya, Fazura berkata, buat masa ini, dia masih lagi berehat.
“Setakat ini tiada sebarang perancangan untuk berlakon. Selain sibuk dengan urusan bisnes, Fatima pun memang tak boleh nak berenggang dengan saya.
“Jadi untuk tinggalkan Fatima lama-lama, sebulan dua ke luar negara, memang agak sukarlah.
“Tempoh paling lama saya pernah berpisah dengan Fatima adalah tiga malam. Itu pun atas urusan kerja,” ujar Fazura. – Agensi
