KUALA LUMPUR, 26 April – Facebook hari ini memperkenalkan ‘Marketplace’ atau pasaran, di Malaysia, yang membolehkan pengguna melihat, membeli dan menjual barangan melalui platform media sosial.
Pengarah pengurusan produk di Facebook, Karan-deep Anand dalam satu kenyataan berkata: “Sebanyak 700 juta orang sudah membeli dan menjual secara
berkumpulan di Facebook setiap bulan. Hari ini, kami teruja untuk membawa ‘Marketplace’ ke Malaysia dan memudahkan pencarian, membeli dan menjual barangan.
“Sama ada anda seorang ibu bapa yang mencari pakaian anak damit atau pengumpul yang mencari barang yang jarang ditemui, Marketplace memudahkan pencarian untuk membeli apa yang diperlukan dan menjual apa sahaja.
“Orang ramai akan selesa membeli dan menjual di ‘Marketplace’ kerana mudah untuk melihat profil pembeli dan penjual, kawan bersama anda, dan berapa lama mereka berada di Facebook. “
‘Marketplace’ membolehkan pengguna menyenaraikan dan melayari barang untuk dijual dan menapis mengikut lokasi, harga dan kategori seperti barang isi rumah, elektronik dan pakaian. – Bernama