Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Persatuan Perniagaan Brunei-Perancis (FBBA), hari ini, telah mengadakan taklimat mengenai ‘Perusahaan Keluarga: Tadbir Urus Dan Kejayaan’ yang telah diadakan di Mutiara Ballroom, Hotel Radisson.
Hadir pada taklimat itu ialah Presiden Alliance Francaise de Brunei Darussalam, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Christian Ramage; Duta Besar Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig B. Allen serta Presiden FBBA, Pierre Imhof dan ahli-ahli FBBA serta jemputan daripada sektor swasta dan jemputan khas.
Taklimat kali ini mengetengahkan lima orang pembentang yang terdiri daripada Pengerusi Ideal Group Holdings, Haji Ahmad Morshidi bin Pehin Haji Abdul Rahman; wakil Deloitte Private, Peter Pagonis; Presiden Persatuan Undang-Undang, On Hung Zheng; wakil Siscodes Technologies & Jubilee Consulting Services, Sheikh Rashid dan juga Kelvin Lau yang merupakan wakil daripada sesebuah perniagaan keluarga yang telah beroperasi sehingga generasi keduanya. Taklimat dipengerusikan oleh Elise Eliot daripada Deloitte.


Elise Eliot dalam taklimat itu turut menggariskan beberapa isu yang dihadapi dalam sesebuah perniagaan keluarga yang masa kini juga masih perlu dihadapi oleh mereka.
Antaranya komunikasi yang kurang di antara ahli keluarga, kekurangan ketelusan dalam kalangan ahli keluarga, gagal mendidik kepentingan sesebuah perniagaan keluarga terhadap generasi yang baru dan sebagainya.
Isu-isu ini dikongsikan bersama ahli-ahli panel mereka turut membincangkan cara-cara untuk mengatasinya.
Para panel sepanjang taklimat itu membincangkan mengenai keusahawanan masing-masing dan pelbagai cabaran yang telah pun dilalui untuk mencapai kejayaan yang diingini di samping mengongsikan cara-cara untuk mempertahankan sesebuah perusahaan keluarga dengan tadbir urus yang baik dan efisien.