Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Mereka yang kerap menggunakan atau melalui pos kawalan darat khususnya pekerja dan pelajar yang merentas sempadan termasuk warganegara Brunei boleh memohon untuk mendapatkan Frequent Commuters Pass (FCP).
Pas berkenaan hanya boleh dipohon oleh mereka yang merentas sempadan setiap hari untuk tujuan bekerja atau pelajar yang belajar di negara jiran dan merentas sempadan untuk pulang ke rumah.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika menjawab persoalan mengenai dengan caj perkhidmatan bagi Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk, 2020 semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Dato menekankan lagi bahawa Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk, 2020 akan dilaksanakan bermula 1 Oktober ini di mana semua warganegara termasuk warganegara Brunei Darussalam yang hendak keluar dari atau masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui pos kawalan darat sama ada menggunakan kenderaan atau berjalan kaki dikenakan caj perkhidmatan sebanyak $3 seorang bagi setiap satu hala perjalanan.
Ia juga dikenakan kepada pelawat warganegara asing yang hendak masuk ke Negara Brunei Darussalam atau keluar dari Negara Brunei Darussalam yang melalui pos kawalan darat berkenaan.
Mengulas mengenai permohonan FCP bagi warganegara asing, beliau berkata pihaknya adalah terbuka untuk membincangkan mengenai dengan susunan yang serupa yang dikenakan kepada rakyat dan penduduk di Brunei.
Oleh itu, bagi kategori yang berkenaan iaitu mereka yang bekerja merentas sempadan dan pelajar yang belajar merentas sempadan, Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa pihaknya telah menjelaskan kepada pihak berkenaan di negara jiran dan menanti susunan yang dapat dipersetujui.