WASHINGTON, 26 FEB – Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) telah meluluskan ujian kombinasi pertama untuk selesema dan COVID yang boleh digunakan di rumah, memberikan pengguna cara yang senang untuk menentukan sama ada hidung berair berpunca daripada salah satu penyakit tersebut.
Ujian COVID & Selesema Lucira, yang boleh dibeli tanpa preskripsi, menggunakan sampel swab hidung yang diambil sendiri dan memberikan keputusan dalam masa 30 minit, menurut agensi.
Sementara ujian COVID di rumah sedia diperoleh, ia merupakan ujian rumah pertama untuk influenza A dan B, lazim dikenali sebagai selesema. Ujian diberikan kelulusan penggunaan kecemasan, yang memudahkan ‘langkah pencegahan perubatan’ semasa berlakunya kecemasan kesihatan awam.
Jeff Shuren, Pengarah Pusat Peranti dan Kesihatan Radiologi FDA, menggelar kelulusan ‘satu peristiwa bersejarah untuk membawa akses pengguna yang lebih kepada ujian diagnostik yang boleh dilakukan di rumah.’
Agensi itu berkata ujian adalah untuk individu ‘dengan gejala yang konsisten dengan jangkitan saluran pernafasan’ dan berkata ia boleh digunakan oleh kanak-kanak yang berusia 2 tahun, dengan orang dewasa mengumpul sampel.
“Individu yang diuji negatif dan masih mengalami simptom demam, batuk atau tercungap-cungap mungkin mengalami jangkitan pernafasan dan harus mendapatkan jagaan susulan dengan pembekal penjagaan kesihatan mereka,” kata agensi. – AP