WASHINGTON, 23 OGOS – Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) kelmarin meluluskan versi terkini vaksin COVID-19 Pfizer dan Moderna, dengan syarikat tersebut mengatakan suntikan itu akan tersedia ‘dalam beberapa hari akan datang’.
Vaksin terbaharu ini, yang dibangunkan menggunakan varian KP.2 virus itu, direka bentuk untuk menyasarkan varian yang sedang tersebar dan memberikan perlindungan yang lebih baik terhadap risiko kemasukan ke hospital atau kematian, kata Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA).
“Kami sangat menggalakkan mereka yang layak untuk mempertimbangkan menerima vaksin COVID-19 yang dikemas kini,” kata pegawai kanan FDA, Peter Marks, dalam satu kenyataan.
Vaksin itu akan tersedia untuk mereka yang berumur enam bulan dan ke atas. Dos penggalak mesti diberikan sekurang-kurangnya dua bulan selepas suntikan sebelumnya.
Pengumuman FDA dibuat ketika kes COVID-19 meningkat pada musim panas ini di AS, yang sudah bersedia untuk musim wabak musim sejuk.
Pfizer dan Moderna berkata vaksin mereka akan tersedia ‘dalam beberapa hari akan datang’ di farmasi, hospital dan klinik.
“Pada musim 2023-24, kami melihat lebih 600,000 dimasukkan ke hospital akibat COVID-19 di AS,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Moderna, Stephane Bancel dalam satu kenyataan.
“Mengambil vaksin COVID-19 terkini merupakan salah satu cara terbaik untuk orang ramai dilindungi dan mencegah penyakit yang teruk.” – AFP