MADRID, 8 Mei – Roger Federer kembali ke gelanggang tanah liat selepas menghilang selama tiga tahun dengan mencatat kemenangan 6-2, 6-3 ke atas Richard Gasquet di Terbuka Madrid, kelmarin.
Juara Grand Slam 20 kali itu hanya memerlukan 52 minit untuk mengetepikan Gasquet pada pusingan kedua tetapi mengakui terpaksa mengawal emosi semasa sesi strategi pertandingan bersama pasukannya.
“Saya tenang sepanjang hari tetapi dua jam sebelum ini saya merasakan sedikit tertekan tetapi itu satu-satunya masa yang ada,” kata Federer. “Saya berjaya mengatasi gemuruh dan gembira dapat bermula dengan baik.
“Saya gembira dapat kembali,” kata juara tiga kali Madrid itu yang bermain di gelanggang tanah liat hampir tiga tahun lalu dan kalah kepada Dominic Thiem pada pusingan ketiga di Rome pada 12 Mei 2016.
Federer menghilang dua musim penuh bagi menumpukan perhatian kepada gelanggang rumput sehingga menjuarai Wimbledon pada 2017. Dia merangkul gelaran Madrid pada 2006, 2009 dan 2012.
“Saya merindui gelanggang tanah liat.
“Kali ini adalah pulangan yang hebat dan malam yang istimewa untuk saya,” katanya.
Federer menyempurnakan set pembukaan dalam 23 minit dan mengatasi pemain Perancis itu yang mengalahkannya dua kali di gelanggang tanah liat 5-3 sebelum tersingkir daripada perlawanan.
Federer telah memenangi 18 daripada 21 pertemuan dengan Gasquet dan baru kembali daripada kecederaan selama enam bulan.
“Saya sudah berlatih dengan baik tetapi itu bukan seperti perlawanan. Mata di sini lebih pantas dan mana-mana perlawanan pertama boleh menjadi rumit tetapi saya berasa amat semula jadi di gelanggang tanah liat malam ini,” kata Federer. – AFP