Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Federer lepasi liku pertama

    NEW YORK, 30 Ogos – Roger Federer berjaya melepasi perlawanan lima set mendebarkan hari ini, mengetepikan kebimbangan mengenai kecederaan belakangnya dan kurangnya persiapan untuk mara ke pusingan kedua Terbuka AS.

    Juara Grand Slam sebanyak 19 kali itu menewaskan pemain ranking ke-70 dari AS, Frances Tiafoe 4-6, 6-2, 6-1, 1-6, 6-4 dalam perlawanan yang tidak disangka-sangka sukar, sekali gus merangsang harapannya untuk mara lebih jauh lagi di gelanggang keras New York itu.

    “Saya fikir ini akan memberikan saya keyakinan yang tinggi,” kata Federer. “Ia adalah penting untuk mengharungi emosi tidak menentu ini lebih awal. Tekanan yang diterima tidak menyeronokkan tetapi itu yang anda perlu harungi.”

    Ia adalah perlawanan pertama Federer sejak tewas di final Montreal kepada Alexander Zverev hampir tiga minggu lalu. Dia menarik diri dari Cincinnati kerana masalah belakang seminggu selepas itu.

    Roger Federer ketika berusaha membalas pukulan lawannya, Frances Tiafoe dari AS dalam aksi Terbuka AS di New York. – AFP

    “Saya pada mulanya bimbang dengan isu belakang saya sejak beberapa minggu lalu tetapi saya relaks,” kata Federer, menyatakan belakangnya dalam ‘keadaan sangat baik’ dan menambah ‘ia hanya akan bertambah lebih baik bermula sekarang’.

    “Untuk mengharungi perlawanan lima set anda perlu sihat. Saya percaya ini akan memberikan saya keyakinan tinggi dalam permainan dan badan saya.”

    Pemain pilihan ketiga, Federer seterusnya akan bertemu sama ada Mikhail Youzhny dari Rusia, atau Blaz Kavcic dari Slovenia, ketika jaguh tenis Switzerland itu memburu mahkota keenamnya di Terbuka AS. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda