Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Federer, Nadal terus mara

    PARIS, 30 Mei – Roger Federer melangkah ke pusingan tiga Terbuka Perancis buat kali ke-15 kariernya manakala juara 11 kali, Rafael Nadal dan jaguh Greece, Stefanos Tsitsipas turut mara.

    Bintang veteran Switzerland, Federer mara selepas menewaskan pemain Jerman yang menghuni ranking 114 dunia, Oscar Otte 6-4, 6-3, 6-4 pada aksi di gelanggang Philippe Chatrier.

    “Perlawanan Grand Slam menakjubkan. Kamu boleh bertemu pemain yang layak bermain yang kamu tidak pernah mendengar namanya sebelum ini,” kata Federer yang kali terakhir bermain di Terbuka Perancis pada 2015. “Ia sukar, dia benar-benar mengharungi permainan yang hebat.”

    Lawan Federer yang memiliki 20 koleksi Grand Slam berikutnya ialah pemain Norway, Casper Ruud yang menyingkirkan pilihan ke-29 dari Itali, Matteo Berrettini 6-4, 7-5, 6-3.

    Selepas memenangi satu-satunya trofi Terbuka Perancis pada 2009, Federer kini berdepan tugasan sukar untuk meraih kejuaraan kedua dan berpotensi bertemu Tsitsipas, Nadal dan pemain nombor satu dunia Novak Djokovic.

    Federer meraikan kejayaan selepas berjaya menewaskan Oscar Otte pada perlawanan tenis di Jerman pada 29 Mei lalu. Federer melangkah ke pusingan tiga Terbuka Perancis buat kali ke-15 kariernya, manakala juara 11 kali, Rafael Nadal dan jaguh Greece, Stefanos Tsitsipas turut mara. – AP

    Jaguh tenis Sepanyol, Nadal meneruskan permulaan baik untuk menjulang gelaran ke-12 hasil kemenangan selesa ke atas pemain Jerman, Yannick Maden 6-1, 6-2, 6-4.

    “Dia (Maden) pemain yang bagus. Dia sudah pun menang empat perlawanan dan merasa amat yakin,” kata Nadal yang memiliki rekod menang-kalah meningkat kepada 88-2.

    Lawan pemenang 17 kali Grand Slam itu seterusnya ialah pilihan ke-27 dari Belgium, David Goffin.

    Pilihan keenam, Tsitsipas dalam pada itu terpaksa bergelut sebelum menang ke atas pemain Bolivia, Hugo Dellien dalam aksi empat set 4-6, 6-0, 6-3, 7-5 di gelanggang Simonne Mathieu.

    Begitupun dalam kategori wanita, pilihan keempat Kiki Bertens terpaksa menarik diri selepas mengalami masalah kesihatan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda