WMIAMI, 2 MAC – Juara bertahan, Roger Federer menarik diri dari Terbuka Miami bulan ini ketika berusaha kembali selepas menjalani pembedahan untuk memperbaiki lutut bahagian kanan, media Amerika Syarikat melaporkan kelmarin.
Bintang Switzerland berusia 39 tahun, yang tidak bermain sejak tewas di pusingan separuh akhir tahun lalu di Terbuka Australia, bakal kembali setelah setahun diketepikan di Terbuka Qatar, Doha minggu hadapan.
Walau bagaimanapun, Miami Herald memetik ucapan ejen Federer, Tony Godsick dengan mengatakan juara perseorangan Grand Slam sebanyak 20 kali memilih untuk menarik diri dari kejohanan Miami atas sebab jadual perlawanan.
The Herald berkata Federer boleh bermain di Dubai selepas Doha tetapi selepas itu menjalani latihan.
Keputusan Federer untuk menarik diri merupakan cabaran buat penganjur kejohanan Miami, yang terpaksa membatalkan kejohanan Indian Wells di California, kebiasaannya pada bulan Mac.
Miami masih dijangkakan akan menampilkan pemain hebat walaupun Federer menarik diri, dengan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic dan pemenang Grand Slam sebanyak 20 kali, Rafael Nadal disahkan akan menyertai undian.
Serena Williams dan juara Terbuka Australia, Naomi Osaka turut dilaporkan termasuk dalam undian. – AFP