BASEL, 31 Okt – Jaguh tenis Switzerland, Roger Federer menarik diri daripada Paris Masters minggu depan, sekali gus membuka peluang buat pesaing ketatnya, Rafael Nadal untuk menamatkan musim 2017 sebagai pemain nombor satu dunia.
Federer, juara 19 kali Grand Slam, terpaksa mengambil keputusan berkenaan bagi mendapat rehat secukupnya selepas merangkul gelaran kelapan peribadi dalam kejohanan Swiss Indoors di Basel. Beliau yang bermain di hadapan penyokong sendiri menewaskan Juan Martin del Potro 6-7 (5/7), 6-4, 6-3.
Federer, 36, pemenang kejuaraan ke-95 sepanjang kariernya kini di tangga kedua di belakang Jimmy Connors yang mengumpulkan 109 gelaran, kebelakangan ini sudah mengatakan bahawa dia akan membuat keputusan lewat kerana bergantung pada kecergasannya selepas Basel.
“Badan saya memerlukan rehat,” kata legenda tenis Switzerland itu. “Basel terlalu memenatkan saya. Saya mengharungi lima perlawanan dalam tempoh enam hari. Saya kesal dan sedih untuk Paris.
“Saya suka bermain di Bercy, sudah beberapa kali saya tidak bertanding di sana. Ia sesuatu yang sukar tetapi mereka perlu memahami bahawa ia adalah penting bagi saya untuk kekal cergas dan tanpa kecederaan.
“Saya ingin mendapat tahap kecergasan terbaik menjelang London (Final Jelajah Dunia) dan untuk tahun 2018.”
Berdasarkan perkiraan ATP, Nadal mampu meraih gelaran nombor satu dunia dengan memenangi perlawanan pembukaannya (pusingan kedua) di Paris.
Pemain Sepanyol itu akan memulakan kempen di Bercy menentang Hyeon Chung dari Korea Selatan.
Kali terakhir Federer beraksi di Paris ialah pada tahun 2015 dan muncul juara pada tahun 2011. – AFP