Khamis, November 20, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fedora Man: Lelaki misteri di Muzium Louvre terbongkar

    PARIS – Ketika Pedro Elias Garzon Delvaux yang berusia 15 tahun, menyedari gambarnya di Louvre pada hari rompakan permata barang kemas diraja mendapat jutaan tontonan, naluri pertamanya bukan untuk segera mendedahkan dirinya dalam talian.

    Peminat Sherlock Holmes dan Hercule Poirot yang tinggal bersama ibu bapa dan datuknya di Rambouillet, barat Paris itu memilih untuk berdiam diri dan menikmati debaran dunia.

    Tatkala pelbagai teori berlegar tentang lelaki asing berpenampilan kemas dalam foto Fedora Man, detektif, orang dalam, wajah palsu dijana AI, Pedro memilih untuk senyap dan memerhati.

    “Saya tidak mahu terus mengaku bahawa itu saya. Gambar ini ada misterinya sendiri, jadi biarlah rahsia itu kekal sedikit lama,” ujarnya.

    Dalam satu-satunya temu bual bersemuka sejak gambar itu menjadikannya tumpuan dunia, Pedro tampil di hadapan kamera AP di kediamannya hampir persis seperti penampilannya pada hari kejadian, bertopi fedora, berbaju rompi Yves Saint Laurent yang dipinjam daripada ayahnya, jaket pilihan ibu, tali leher kemas, seluar Tommy Hilfiger dan jam tangan Rusia yang dibaik pulih selepas rosak dalam perang.

    Pedro Elias Garzon Delvaux, kanan, berjalan melintasi pegawai polis yang menghalang pintu masuk ke Louvre selepas pencuri melakukan rompakan siang hari terhadap barang kemas diraja Perancis, di Paris, 19 Oktober lalu. – AP
    Pedro semasa temu bual bersama Associated Press, di Rambouillet, selatan Paris. – AP
    Pedro bergambar selepas temu bual bersama Associated Press. – AP

    Topi fedora yang disengetkan tepat pada gayanya itu merupakan penghormatan beliau kepada wira Perancis, Jean Moulin.

    Dalam pertemuan sebenar, Pedro ialah remaja cerdas, berjiwa jenaka yang terseret secara tidak sengaja ke dalam kisah global.

    DARI FOTO KE FENOMENA

    Gambar yang menjadikannya terkenal itu sebenarnya bertujuan merakam tempat kejadian jenayah.

    Tiga anggota polis bersandar pada kereta perak yang menghalang pintu masuk Louvre, beberapa jam selepas sekumpulan pencuri melancarkan rompakan berani di siang hari untuk mencuri permata mahkota Perancis.

    Di sebelah kanan, seorang figura bersut tiga helai melangkah dengan tenang, seolah-olah adegan filem noir yang menjelma dalam buruan moden.

    Internet mengambil alih selebihnya. Pengguna menamakan beliau Fedora Man, membayangkannya sebagai detektif klasik, orang dalam, idea siri Netflix atau bukan manusia sama sekali. Ramai yakin ia gambar dijana AI.

    Pedro tahu sebabnya. “Dalam gambar, saya berpakaian seperti era 1940an, sedangkan ini tahun 2025,” katanya. “Ada perbezaan.”

    Malah beberapa saudara serta rakan ragu sehingga mereka ternampak ibunya di latar belakang. Ketika itu barulah mereka pasti, detektif palsu kegemaran internet itu sebenarnya remaja sebenar.

    Cerita sebenar jauh lebih sederhana. Pedro, ibunya dan datuknya datang untuk melawat Louvre.

    “Kami mahu masuk ke Louvre, tapi ia ditutup,” katanya. “Kami tidak tahu ada rompakan.”

    Mereka bertanya kepada polis mengapa pintu pagar ditutup. Beberapa saat kemudian, jurugambar AP, Thibault Camus, merakam Pedro sedang melintasi kawasan itu.

    “Ketika gambar itu diambil, saya tidak tahu apa-apa,” kata Pedro. “Saya cuma lalu.”

    Empat hari kemudian, seorang kenalan menghantar mesej, “Itu kamu?.

    “Dia beritahu saya sudah lima juta tontonan,” jelasnya. “Saya agak terkejut.” Tidak lama kemudian ibunya menelefon untuk mengatakan gambarnya muncul di The New York Times.

    “Ia bukan berlaku setiap hari.” Saudara di Colombia, rakan di Austria dan rakan sekelas mula menghantar tangkap layar dan menelefon.

    “Orang kata, ‘Kamu sudah jadi bintang,’” katanya. “Saya terkejut hanya kerana satu foto kamu boleh tular dalam beberapa hari.”

    GAYA YANG MEMBERI IMPAK

    Penampilan yang mengejutkan puluhan juta itu bukan kostum khas untuk lawatan muzium. Pedro mula berpakaian begitu kurang setahun lalu, diinspirasikan sejarah abad ke-20 dan foto hitam putih tokoh berjas serta detektif fiksyen.

    “Saya suka kelihatan kemas,” katanya. “Saya ke sekolah begini.”

    Di tengah pelajar lain dengan hoodies dan kasut sukan, dia hadir dengan gaya sut tiga helai.

    Dan topinya? Itu ritual tersendiri. Fedora hanya dipakai pada hujung minggu, cuti dan lawatan muzium.

    Di sekolah tanpa uniform itu, gayanya sudah mula mempengaruhi rakan lain. “Seorang rakan saya minggu ini datang memakai tali leher,” katanya.

    Pedro faham mengapa orang menumpukan watak detektif pada dirinya, rompakan luar biasa, detektif luar biasa.

    Dia meminati Poirot dan menyukai idea bahawa jenayah pelik memerlukan seseorang yang kelihatan unik. “Apabila sesuatu luar biasa berlaku, kamu tidak bayangkan detektif biasa.Kamu bayangkan seseorang yang berbeza.”

    Minat itu selari dengan latar keluarganya. Ibunya, Felicite Garzon Delvaux, membesar dalam istana-muzium abad ke-18, anak kepada kurator dan penggiat seni, dan sering membawa Pedro ke pameran.

    “Kesenian dan muzium ialah ruang kehidupan,” katanya. “Hidup tanpa seni bukan hidup.”

    Bagi Pedro, seni dan visual sebahagian daripada kehidupan seharian. Jadi apabila jutaan orang mencipta naratif daripada satu bingkai imej dirinya bertopi fedora di sebelah polis bersenjata di Louvre, dia memahami kuasa sebuah gambar dan membiarkan mitos itu bernafas sebelum tampil menjelaskan.

    Dia berdiam diri beberapa hari, kemudian menukar akaun Instagramnya kepada umum.

    “Orang perlu cuba mencari siapa saya,” katanya. “Kemudian wartawan datang, dan saya beritahu umur saya. Mereka sangat terkejut.”

    Pedro santai tentang apa yang mungkin berlaku selepas ini. “Saya tunggu orang hubungi saya untuk filem,” katanya sambil tersenyum. “Itu pasti kelakar.”

    Dalam kisah tentang kecurian dan kelemahan keselamatan, Fedora Man menjadi sisi lebih lembut iaitu seorang remaja yang percaya seni, gaya dan misteri yang baik wajar wujud dalam hidup biasa.

    Satu foto menjadikannya simbol. Bertemu dengannya mengesahkan bahawa dia, dengan lega, benar-benar manusia.

    “Saya bintang,” katanya, bukan sebagai angkuh tetapi sebagai percubaan, seperti dia mencuba topi. “Saya akan terus berpakaian begini. Ini gaya saya.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda