Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Peserta dalam Projek Keluarga, Pemerkasaan, Ekonomi, Pembangunan (FEED) bukan saja dididik dengan ilmu dan kemahiran untuk menjana pendapatan ekonomi tapi mereka juga dibekalkan dengan ilmu agama bagi menyeimbangkan ilmu yang mereka perolehi.
Timbalan Projek FEED, Dayang Norsuziyani Abdullah menjelaskan mengenai projek yang baharu diperkenalkan pada 2022 itu semasa ditemui pada Pameran Hari Belia Kebangsaan (HBK) 2023 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Beliau menjelaskan, projek yang ahli-ahlinya terdiri daripada belia dari latar belakang berbeza itu memberi kemahiran dan bimbingan kepada mereka yang terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan dalam menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.
Selain memberikan ilmu dan kemahiran dengan dibimbing oleh pengusaha tempatan yang telah berjaya bagi berkongsi ilmu dan mengajar teknik-teknik perniagaan dan memasarkan produk mereka, peserta juga diberikan ilmu keagamaan.
“Pada 2022, enam orang peserta kumpulan pertama telah pun berjaya menamatkan projek mentoring selama tiga bulan bersama pengusaha yang berjaya di negara ini, baru-baru ini,” jelasnya.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P5-FEED_02082023.jpg)
Walaupun setelah menamatkan projek mereka, pihak FEED akan terus memantau perkembangan perniagaan mereka dari semasa ke semasa tapi pihak FEED bukan saja membantu dari segi kewangan malah membantu mereka dengan cara memberikan kemahiran dan bantuan lain.
“Ini bertujuan agar mereka ini dapat berdikari dan menjana pendapatan sendiri untuk meneruskan keperluan harian mereka,” jelasnya lagi.
Beliau seterusnya menjelaskan, pada peringkat permulaan, kemasukan golongan yang kurang berkemampuan adalah dalam jumlah yang kecil, ini kerana mereka mahu memberikan yang terbaik dan peserta akan dapat memahami apa yang disampaikan selain ahli FEED juga akan dapat memantau perkembangan mereka dengan lebih teliti lagi.
Setakat ini, antara peserta yang menyertai projek mentoring terdiri daripada golongan warga emas yang berusia 70 tahun yang mana beliau mengusahakan produk jamu dan seorang ibu tunggal yang mengusahakan nasi katok.
Beliau seterusnya berharap dengan penyertaan dan pendedahan dalam pameran sempena HBK 2023, ia akan memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali dan memahami peranan yang disumbangkan oleh Projek FEED kepada masyarakat.