Feichtenbeiner, ketua jurulatih baharu Gergasi Merah

KUALA LUMPUR, 21 NOV – Selangor FC melantik Michael Feichtenbeiner selaku ketua jurulatihnya yang baharu untuk musim hadapan, menggantikan Karsten Neitzel.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata biarpun menggalas tanggungjawab baharu, Feichtenbeiner akan terus memainkan peranannya sebagai pengarah sukan untuk meningkatkan prestasi kelab itu.

Gergasi Merah tersingkir daripada saingan suku akhir Piala Malaysia dan menamatkan Liga Super di tangga kelima.

“Kami sudah melihat kemampuan yang ditunjukkan Michael sepanjang tugasnya sebagai pembimbing sementara pasukan hujung musim lepas. Memperkenalkan gandingan pemain muda dan senior serta taktik memberi tekanan ketika bola masih di kawasan lawan dan membuat serangan pantas merupakan keutamaan kepada Selangor.

Ini selaras dengan wawasan kami untuk membina sebuah pasukan yang kuat di masa hadapan. Kami lebih yakin dari sebelum ini di bawah bimbingannya, kami menuju ke arah yang tepat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anak kelahiran Stuttgart itu memulakan kerjayanya sebagai jurulatih belia, VfB Stuttgart sebelum menyertai kelab dari Switzerland, BSC Old Boys Basel selaku ketua jurulatih dan beliau banyak menghabiskan usianya dalam kerjaya selaku jurulatih di Jerman.

“Michael menyerlah semasa Piala DFB 2019-2020 dengan kelab Bundesliga 2 (liga bola sepak divisyen dua Jerman), Stuttgarter Kickers dengan mengalahkan tiga kelab Bundesliga (Borrusia Dortmund, Arminia Bielefeld dan SC Freiburg) dalam kemaraan ke separuh akhir dan kelab itu akhirnya disingkirkan Werder Bremen selepas masa tambahan,” menurut kenyataan itu.

Feichtenbeiner juga pernah menjadi jurulatih di Malaysia untuk MPPJ FC dari 2005 hingga 2006, menyelamatkan pasukan itu daripada tersingkir ke Liga Premier, selain membimbing Bintang Medan FC dari 2010 hingga 2011 selain daripada membimbing pasukan kebangsaan bawah 15 tahun dan bawah 17 tahun Jerman.

Beliau kembali ke Malaysia pada Disember 2019 sebagai Pengarah Sukan Selangor dan juga bertanggungjawab melatih pasukan simpanan – Selangor FC 2. – Bernama