PARIS, 30 Okt – Kapten Lyon, Nabil Fekir menjaringkan dua gol pada babak pertama untuk membawa pasukannya ke tangga ketiga Ligue 1 awal pagi tadi selepas kemenangan 2-0 mengatasi pasukan terbawah liga, Metz.
Pemain antarabangsa Perancis berusia 24 tahun itu sudah menjaringkan sembilan gol musim ini, mengetuai serangan Lyon selepas pemergian penyerang prolifik mereka ke Arsenal, Alexandre Lacazette.
Ia adalah kemenangan keempat berturut-turut buat pasukan itu yang akan menanti kehadiran Everton dalam Liga Europa pada pertengahan minggu sebelum berdepan pencabar setempat, Saint-Etienne hujung minggu ini.
Kemenangan awal pagi tadi memberikan Lyon 22 mata daripada 11 perlawanan, hanya tiga mata di belakang juara bertahan Monaco dan tujuh mata di bawah pendahulu Paris Saint-Germain.
Siri kemenangan itu juga memberikan kelegaan buat jurulatih Bruno Genesio, dengan penyokong mula berang dengannya selepas tewas 2-0 kepada PSG pada September diikuti tiga kali seri 3-3.

“Everton menjadi lawan seterusnya dan keputusan yang baik akan menyaksikan kami layak berbaki dua perlawanan, jadi kami mahu melakukan permulaan yang bagus,” kata Genesio berkaitan Liga Europa awal pagi Jumaat ini.
Fekir menjaringkan dua gol dan membantu untuk jaringan ketiga dua minggu lalu ketika Lyon mengatasi Monaco 3-2 di laman sendiri dan persembahannya musim ini memberikan harapan baharu kepada kelab yang kali terakhir menang liga Perancis pada tahun 2008.
“Dia sentiasa berbahaya setiap kali bermain dalam aspek jaringan gol dan umpanan,” kata Genesio.
“Dia sudah meningkat menerusi peranan barunya selaku kapten dan dia beraksi pada tahap antarabangsa.” – AFP