MADRID, 18 JAN – Pemain tengah Real Betis, Nabil Fekir akan terlepas perlawanan Copa del Rey menentang Osasuna dan mungkin akan disisihkan lebih lama, kata jurulatih Manuel Pellegrini kelmarin.
“Fekir mengalami sedikit kecederaan pada kakinya. Dia tidak akan cergas untuk perlawanan esok. Kita akan lihat bagaimana perkembangnya nanti,” kata Pellegrini. “Kami tidak boleh berkata banyak buat masa ini, ia mungkin memakan masa beberapa minggu untuk pulih, tetapi untuk perlawanan esok dia akan direhatkan.”
Real Betis akan berdepan Osasuna dalam pusingan 16 terakhir pada hari ini. Perlawanan seterusnya adalah menentang Espanyol dalam saingan La Liga pada hari Sabtu.
Fekir, pemain antarabangsa Perancis yang tidak dipilih beraksi di Piala Dunia, mengalami kecederaan pada Khamis lalu dalam separuh akhir Piala Super Sepanyol menentang Barcelona di Riyadh.
Fekir menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-77 tetapi Betis tewas menerusi sepakan penalti selepas masa tambahan.
Pellegrini berkata Betis juga akan beraksi tanpa penjaga gol utama mereka, Rui Silva, yang mengalami kecederaan otot, dan penyerang Juanmi, yang masih dalam proses pemulihan akibat pembedahan.” – AFP
