KUALA LUMPUR, 28 Feb – Garis panduan jelas, berupa pengukuhan perundangan atau rangka kerja pengawalseliaan, adalah lebih baik daripada satu fatwa yang terburu-buru di fasa awal mata wang kripto, kata felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (Syarak), IKIM, Mohd Noor Omar berkata, garis panduan yang jelas adalah lebih diperlukan berbanding terburu-buru untuk memaksa Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa berkaitan hukum dan status halal atau haram terhadap transaksi mata wang kripto yang sedang hangat diperkatakan buat masa ini.
“Tidak perlu terburu-buru keluarkan fatwa kripto.
“Contoh rangka kerja pengawalseliaan seperti garis panduan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini adalah tepat. Ia menerangkan bahawa mata wang kripto kekal tidak diiktiraf sebagai mata wang sah diperlakukan, tetapi boleh digunakan apabila ada ketelusan dan pelaksanaan elemen Ketahui Pelanggan Anda (KYC),” kata beliau semasa Persidangan Meja Bulat Mata Wang Kripto dan Sistem Kewangan Digital, anjuran IKIM di sini, hari ini.
Mohd Noor berkata pengeluaran fatwa terlalu awal berisiko menjejaskan kredibiliti institusi Islam sekiranya berlaku perubahan dalam industri.
“Wang kripto adalah satu konsep yang menarik dengan kemampuan mengubah sistem kewangan global secara mendasar. Posisi wang kripto dalam ekosistem fintech (teknologi kewangan) berada di titik optimum di antara kuadran teknologi dan kewangan.
“Ia masih baru, belum mantap lagi,” kata beliau semasa membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Mata Wang Digital: Falsafah dan Maslahah’.
Beliau berkata sektor kewangan akan merancakkan ekonomi masa hadapan melalui dua cara iaitu saluran kewangan dan inovasi infrastruktur berteknologi, manakala pembangunan infrastruktur pula dapat menyediakan platform dagangan, tukaran asing, perbankan, insurans dan sistem pembayaran. – Bernama