Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fenomena antisosial yang memudaratkan

    LELAKI bernama Kazuo Okada itu kelihatan agak obses dengan angka dan mempunyai ingatan yang amat baik. Dia malah menimbang dengan tepat kuantiti beras sebanyak 250 gram sebelum memasaknya untuk makan tengah hari.

    Ketika ditemui jurugambar kelahiran Vietnam, Maika Elan sekitar tahun 2017 di kediamannya di Kashiwa, kira-kira 50 kilometer dari bandar Tokyo, Jepun dia cenderung bercerita secara terperinci peristiwa yang pernah berlaku kepada dirinya.

    Pernah bekerja sebagai kerani melibatkan operasi percukaian, Okada yang berusia 48 tahun pada waktu tersebut sudah tujuh tahun mengurung diri di dalam rumah.

    Dia banyak menghabiskan masa dengan membaca dan bermain muzik jazz. Golongan seperti Okada dikenali sebagai hikikomori. Hujung bulan lalu media antarabangsa BBC turut melaporkan mengenai fenomena antisosial di Jepun itu.

    Biarpun hikikomori dianggap unik di Jepun namun media tersebut mendedahkan situasi serupa turut melanda negara maju lain seperti Hong Kong, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Perancis. Malah pada 20 Januari lalu, penyanyi popular Korea Selatan Bang Yong-guk melancarkan single terbaharunya berjudul Hikikomori dan mengakui lagu itu tentang dirinya.

    Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun mentakrifkan hikikomori ialah seseorang yang menarik diri daripada masyarakat tanpa memiliki simptom gangguan mental yang teruk dengan berkurung di dalam rumah melebihi enam bulan. – Agensi
    Okada yang berusia 48 tahun pada waktu tersebut sudah tujuh tahun mengurung diri di dalam rumah. – Agensi
    Dianggarkan seramai 541,000 hingga lebih sejuta daripada keseluruhan populasi 126 juta penduduk Jepun berdepan penyakit sosial tersebut pada tahun 2016. – Agensi

    Berkurung

    Berbalik kepada situasi di Jepun, Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun mentakrifkan hikikomori ialah seseorang yang menarik diri daripada masyarakat tanpa memiliki simptom psikosis (gangguan mental yang teruk) dengan berkurung di rumah melebihi enam bulan.

    Menurut The Japan Times, dianggarkan seramai 541,000 hingga lebih sejuta daripada keseluruhan populasi 126 juta penduduk Jepun berdepan penyakit sosial tersebut pada tahun 2016. Sebanyak 35 peratus daripada jumlah tersebut merupakan hikikomori yang memutuskan hubungan dengan dunia lebih daripada tujuh tahun.

    Persepsi popular mengaitkan ia berlaku kepada remaja atau individu 20-an, namun mereka yang berumur 40-an atau lebih tua tidak terkecuali menjadi hikikomori. Elan, 33, yang juga pemenang anugerah World Press Photography Awards 2013 berada di Jepun selama enam bulan untuk mendekati golongan hikikomori.

    Dalam usaha memulakan projek tersebut, dia menjadi sukarelawan sebagai tenaga pengajar bahasa Inggeris di sebuah badan amal, New Start yang ditubuhkan untuk membantu golongan hikikomori kembali ke pangkuan masyarakat.

    “Mereka sukar didekati dan selalunya ‘lari’ atau berhenti datang ke New Start setelah saya bertanya bolehkah jika gambar mereka diambil. Selepas mencuba pelbagai cara, saya akhirnya bertemu adik-beradik upahan iaitu satu istilah merujuk kepada segolongan orang yang bekerjaya mendekati hikikomori.”

    “Adik-beradik upahan ini selalunya menerima bayaran oleh keluarga atau penjaga hikikomori untuk memberi pengaruh yang baik kepada golongan tersebut. Kejayaan terbesar saya ialah meyakinkan seorang adik-beradik upahan, Oguri Ayako untuk membawa saya bertemu hikikomori. Di mata saya, adik-beradik upahan mempunyai bakat dan kesabaran luar biasa untuk berkomunikasi dengan individu yang sukar difahami dan enggan bersosial seperti hikikomori,” ujarnya kepada Vietnam News.

    Elan sering mengikut Ayako bertemu klien-kliennya tiga hingga empat kali seminggu. Pada peringkat awal, adik- beradik upahan biasanya akan berhubung dengan hikikomori melalui surat atau nota yang diselit di bawah pintu bilik tidur atau kamar mereka.

    Adakalanya ia mengambil masa beberapa hari, minggu, bulan atau sehingga bertahun-tahun untuk hikikomori bersemuka dengan Ayako.

    Elan telah bertemu dengan 20 hikikomori sepanjang misinya. Hanya lapan daripada mereka membenarkan potret dan ruang peribadi mereka dirakam.

    “Pada mulanya saya fikir mereka bersifat apati (sikap tidak endah), malas, mementingkan diri sendiri dan berwajah muram. Begitupun, andaian itu salah. Separuh yang ditemui bijak, cergas, berwajah berseri-seri dan berpuas hati dengan keputusan yang diambil,” ujarnya.

    Istilah hikikomori dicipta oleh ahli psikologi bernama Tamaki Saito menerusi buku berjudul Social Withdrawal – Adolescence Without End yang diterbitkan pada tahun 1998.

    Seorang pensyarah dalam bidang psikiatri Universiti Kyushu di Fukuoka, Takahiro Kato yang giat melakukan kajian mengenai gejala tersebut berkata, keadaan hikikomori dilihat terikat pada aspek budaya serta cara berfikir masyarakat Jepun yang menjadikan mereka begitu rapuh.

    “Harapan tinggi ibu bapa dari aspek pendidikan, pekerjaan dan pencapaian hidup yang dianggap ideal merupakan antara faktor penyebab. Mereka sukar memenuhi harapan itu yang menjadi jangkaan masyarakat.

    “Kebanyakan kajian kes hanya memberi tumpuan kepada aspek psikologi. Kami sedang berusaha untuk mengkaji dari aspek sosial dan biologi serta mahu menjadi yang pertama untuk menyediakan diagnosis pelbagai dimensi,” ujarnya.

    Generasi yang hilang

    Menurut ahli psikologi klinikal, Rika Ueda yang terlibat membantu ibu bapa yang mempunyai anak hikikomori berkata, stigma sosial boleh memburukkan lagi keadaan.

    “Ada hikikomori yang menunjukkan simptom skizofrenia. Tetapi ia tidak dapat disahkan kerana mereka tidak keluar berjumpa doktor untuk didiagnosis. Apa yang kita tahu ialah mereka telah terluka. Mereka dibuli atau mengalami gangguan interpersonal di tempat kerja,” katanya kepada AFP.

    Ada hikikomori yang bekerja secara online dari rumah dan mempunyai pendapatan sendiri seperti lelaki yang ingin dikenali sebagai Ikeida, 55, yang menyara hidup dengan menjadi penulis sambilan dari rumahnya.

    Ikeida hanya meninggalkan rumahnya sekali setiap tiga hari untuk membeli makanan dan sedaya upaya mengelak interaksi manusia, selain tidak bersemuka dengan ibu bapa atau adik lelakinya selama 20 tahun.

    “Saya pernah terfikir tentang mati sendirian. Saya tidak mahu ditemui dalam keadaan membusuk. Mungkin saya boleh memohon mendapatkan lawatan kerap daripada pegawai kebajikan tapi saya tidak mahu. Ia satu perasaan yang bercanggah dengan naluri saya,” luahnya.

    Justeru, kerajaan Jepun pada tahun lalu turut mengumumkan peruntukan berbilion yen untuk menyelamatkan hikikomori yang disifatkan sebagai ‘generasi yang hilang’. Kerajaan juga menyasarkan untuk membantu mereka mencari pekerjaan yang bersesuaian.

    Namun begitu, ada dalam kalangan hikikomori yang akhirnya menempa kejayaan dalam bidang masing-masing dan lebih terbuka berkongsi perasaan yang dialami. Salah seorang daripadanya ialah Mari Okada.

    Wanita penulis skrip, pengarang dan pengarah anime prolifik itu dalam autobiografinya From Truant to Anime Screenwriter: My Path to Anohana and The Anthem of the Heart mendedahkan, dahulu dia merupakan hikikomori yang tinggal di kawasan luar bandar Chichibu, wilayah Saitama.

    Okada, 42, menyifatkan dirinya sebagai kekok bergaul dan menjadi mangsa buli sehingga dia berhenti sekolah, selain didera ibu kandung yang sering memaki hamunnya sebagai anak tidak berguna.

    Dalam satu temu bual di Los Angeles bersempena ekspo anime terbesar Amerika Utara tahun lalu, dia masih dibayangi rasa kesepian dan kelukaan menjadi hikikomori yang tiada tempat bergantung dan tidak mempercayai sesiapa.

    “Mungkin saya sekarang sudah berjaya. Mungkin juga tidak. Tetapi perbezaannya saya boleh mengekspresi kesunyian dan kelukaan itu dengan berkarya. Semua perasaan itu tidak dibazirkan dan amat bermakna.

    “Lebih sukar saya mengendalikan perasaan tersebut lebih banyak perkara yang saya boleh tulis,” tutur Okada yang telah berkecimpung dalam bidang tersebut selama dua dekad.

    Dianggarkan antara 540,000 hingga lebih sejuta penduduk Jepun dihantui penyakit sosial dikenali sebagai hikikomori iaitu memilih untuk mengasingkan diri daripada masyarakat dengan berkurung di rumah melebihi tempoh enam bulan atau mencecah bertahun-tahun. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda