BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun 2013 – Penduduk di Kuala Belait menyaksikan satu fenomena awan yang unik dan jarang-jarang berlaku di mana ia kelihatan seperti gulungan besar di langit.
Gambar-gambar fenomena tersebut yang juga dikenali sebagai ‘morning glory cloud’ telah tersebar secara meluas melalui laman-laman sosial.
Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (JKBD) dalam satu kenyataan kepada Media Permata berkata, gambar-gambar yang tersebar melalui laman sosial itu adalah sejenis fenomena cuaca yang dipanggil Squall Line (Garisan Badai atau hujan berangin ribut).
Fenomena Garisan Badai selalunya disertakan dengan angin kencang yang berlaku secara mendadak.
Pada masa ini Negara Brunei Darussalam adalah di permulaan monsun Barat Daya, di mana berlakunya hujan berangin ribut adalah normal.
JKBD menekankan kepada orang ramai untuk sentiasa ‘up-to-date’ dengan keadaan cuaca semasa di negara ini dengan memuat turun aplikasi JKBD khas untuk telefon pintar dan tablet yang dipanggil Brunei Wx.
Menurut kenyataan itu lagi, aplikasi Brunei Wx boleh dimuat turun di Play Store (untuk pengguna-pengguna Android) atau Apps Store (untuk pengguna-pengguna Apple).
Orang ramai juga digalakkan untuk menelefon talian cuaca 114 bagi mendapatkan maklumat lanjut.