Monday, December 23, 2024
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fenomena azam setiap kali tahun baharu

    Oleh Zulkamal Haji Kamis

    Tahun Baharu 2020 yang baru saja tiba, membawa bersama seribu harapan dan impian kepada setiap yang bergelar insan.

    Betapa pantasnya masa berlalu sehingga 2019 telah melabuhkan tirainya seperti mana kata pepatah ‘waktu umpama sayap, kalau tak ditangkap ia akan lesap.’

    Kedatangan tahun baharu seolah-olah tidak lengkap tanpa soalan “Apakah azam tahun baharu anda”? Ibaratnya setiap orang harus atau wajib mempunyai azam setiap kali menyambunya. Fenomena ini berlaku kerana dewasa ini manusia meletakkan tempoh atau jangka masa tertentu untuk mencapai sesuatu yang diimpikan dalam kehidupan mereka.

    Ketika ini, pasti ramai yang sedang menyimpan pelbagai azam yang menunjukkan sudut perkembangan positif dalam kehidupan individu seperti ‘saya mahu naik pangkat’, ‘saya mahu meningkatkan tahap kewangan’, ‘saya mahu menjadi lebih baik’ dan sebagainya.

    Azam bermaksud cita-cita, kecekalan, semangat dan ketentuan diri sendiri yang lebih meyakinkan diri sendiri untuk masa depan yang lebih terjamin, bahagia dan ceria. Bagi meraikan kehadiran tahun baharu, anda perlu menetapkan matlamat yang lebih fokus membawa kepada perancangan strategi bergantung kepada segala kemudahan dan kebolehan yang ada pada diri sendiri.

    Kedatangan tahun baharu seolah-olah tidak lengkap tanpa soalan “apakah azam tahun baharu anda”? Ibaratnya setiap orang harus atau wajib mempunyai azam setiap kali menyambut tahun baharu. – AFP

    Dalam hubungan keluarga pula, jadikan ikatan itu lebih akrab, mesra dan lebih baik daripada sebelumnya. – AFP
    Sentiasa bersyukur dengan apa yang diperoleh dan dialami di sepanjang tahun 2019, jadikan ia sebagai pengajaran dan mendidik kita untuk lebih matang dan berdedikasi. – AFP

    Mengeratkan lagi perhubungan keluarga

    Rata-rata individu mengharapkan agar sesuatu yang baik bakal berlaku sempena tahun baharu ini. Jika sebelum ini anda mungkin mengalami masalah perhubungan dengan seseorang, mungkin sudah tiba masanya anda melupakan persengketaan itu.

    Begitu juga hubungan anda dengan rakan-rakan seharusnya adalah menjadi lebih baik. Dalam hubungan keluarga pula, jadikan ikatan itu lebih akrab, mesra dan lebih baik daripada sebelumnya. Jika tahun 2019, anda tidak punya masa untuk keluarga, rancanglah masa yang lebih berkualiti untuk bersama keluarga pada tahun baharu ini.

    Meningkatkan mutu prestasi kerja

    Semua orang memang menyimpan cita-cita untuk mencapai peningkatan dalam mutu dan prestasi pekerjaan.

    Hakikatnya, tiada yang mustahil kerana anda boleh merealisasikan kejayaan itu sekiranya anda berusaha untuk menjadi lebih baik dan meningkatkan produktiviti kerja.

    Menitikberatkan hal ekonomi

    Masalah ini sering menjadi isu utama kepada setiap orang dan institusi keluarga. Mana tidaknya, perbelanjaan diri atau keluarga semakin meningkat saban tahun.

    Justeru, inilah masa untuk anda merancang kewangan dengan melebihkan peruntukan tabungan dan mengurangkan perbelanjaan terhadap kehendak diri. Dalam pada itu, anda juga boleh memulakan perniagaan atau pekerjaan sampingan untuk menambah kewangan. Tiada yang mustahil sekiranya anda berusaha.

    Mementingkan kesihatan

    Jangan sesekali anda lupa atau mengabaikan kesihatan diri anda sendiri. Tidak kira setinggi mana pun pencapaian atau kejayaan yang hendak dikecapi, aspek kesihatan seseorang perlu diutamakan dan jangan diabaikan.

    Sekiranya anda tidak pernah bersenam sebelum ini, maka sudah tiba masanya untuk mengubah sikap dengan melakukannya sekarang.

    Hakikatnya begitu banyak jenis-jenis sukan yang menarik boleh dicuba pada tahun baharu ini seperti dodgeball, zumba, rock climbing, spinning dan sebagainya bersesuaian dengan era semasa. Dari segi pemakanan, anda perlu mengamalkan menu seimbang.

    Bagi mereka yang berasa cukup gentar untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, ambil langkah untuk berubah segera dan lakukan pemeriksaan sekurang-kurangnya sekali pada tahun baharu ini. Selamat Tahun Baharu 2020 dan didoakan semoga segala azam dan cita-cita yang diharapkan akan tercapai pada tahun baharu ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda